Saturday, April 16, 2011

AMALAN SUNNAH SEBELUM TIDUR

بسم الله الرحمن الرحيم

Terdapat beberapa amalan yang dilakukan dan dianjurkan daripada sunnah Nabi Muhammad SAW untuk dipraktikkan sebelum seseorang itu melelapkan matanya pada waktu malam. Sayugia bagi setiap ummat yang kasih dan cinta kepada sunnah Baginda SAW tidak meninggalkan amalan-amalan berikut ini. Amalan-amalan tersebut ialah:

(1)Membaca Surah as-Sajdah Dan al-Mulk

Ini berdasarkan perkhabaran dari Jabir RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari (didalam kitabnya al-Adab al-Mufrad), at-Tirmizi, an-Nasai (didalam kitabnya ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ حَتىَّ يَقْرَأَ ( الم تنزيل ) وَ( تبارك الذي بيده الملك

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW tidak tidur sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.

Dalam riwayat an-Nasai dan Ibnu as-Sunni terdapat tambahan “setiap malam”:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ كُلَّ لَيْلَةٍ حَتىَّ يَقْرَأَ ……………..

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW tidak tidur setiap malam sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.

(2)Membaca Dua Ayat Terakhir Surah al-Baqarah (Ayat 285 dan 286)

Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah, ad-Darimi, Ibnu Hibban:

الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ مَنْ قَرَأَ بِهِمَا فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: Dua ayat dari akhir Surah al-Baqarah, barangsiapa yang membacanya pada waktu malam nescaya mencukupi baginya.

Keterangan: Maksud “mencukupi baginya” ialah terpelihara dari sebarang keburukan dan kejahatan pada sepanjang malam tersebut.

(3)Solat Witir

Berkata Abu Hurairah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

أَوْصَانِي خَلِيْلِي (ص) بِثَلاَثٍ: بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَياَّمٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَنْ أُوْتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: Kekasihku (Nabi Muhammad) SAW telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara:
1) Berpuasa tiga hari pada setiap bulan (tanggal 13, 14 dan 15)
2) Mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha
3) Bahawa aku mengerjakan Solat Witir sebelum tidur

Mengerjakan Solat Witir sebelum tidur adalah “pengikat” sebagaimana diistilahkan oleh Nabi Muhammad SAW didalam hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad:

الَّذِي لاَ يَنَامُ حَتىَّ يُوْتِرَ حَازِمٌ

Maksudnya: Orang yang tidak tidur sehingga mengerjakan Solat Witir terlebih dahulu adalah pengikat.

Keterangan: Maksud “pengikat” didalam hadith tersebut ialah pengikat antara seseorang dengan solat malam. Dengan erti kata lain sekiranya ia tidak terbangun untuk solat malam pada malam tersebut maka Solat Witir yang telah dikerjakan sebelum tidur itu menjadikannya dicatat sebagai orang yang telah mendirikan malam. Dengan itu tidak luput daripadanya solat malam pada malam tersebut.

Walaupun begitu bagi sesiapa yang terasa kuat dan mampu bangun diakhir malam maka mengerjakan Solat Witir ketika itu adalah lebih afdhal/utama. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُوْمَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوْتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: Barangsiapa yang takut tidak dapat bangun pada akhir malam maka berwitirlah diawal malam (sebelum tidur), dan barangsiapa yang ingin bangun pada akhir malam maka berwitirlah diakhir malam kerana sesungguhnya solat diakhir malam disaksikan (oleh malaikat), dan itu lebih afdhal.

Perhatikan hadith berikut ini sebagai perbandingan, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, al-Hakim, al-Baihaqi dari Abu Qatadah RA katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ (ص) قَالَ ِلأَبِي بَكْرٍ: مَتَى تُوْتِرُ؟ قَالَ: أُوْتِرُ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ , فَقَالَ لِعُمَرَ: مَتَى تُوْتِرُ؟ قَالَ: أَنَامُ ثُمَّ أُوْتِرُ. قَالَ: فَقَالَ ِلأَبِي بَكْرٍ: أَخَذْتَ بِالْحَزْمِ أَوْ بِالْوَثِيْقَةِ وَقَالَ لِعُمَرَ: أَخَذْتَ بِالْقُوَّةِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bertanya kepada Abu Bakar: “Bilakah kamu mengerjakan Solat Witir”, jawab Abu Bakar: “Aku mengerjakan Solat Witir sebelum aku tidur”. Kemudian Nabi SAW bertanya kepada Umar: “Bilakah kamu mengerjakan Solat Witir”, jawab Umar: “Aku tidur kemudian aku bangun mengerjakan Solat Witir”. Sabda Nabi SAW kepada Abu Bakar: “Kamu telah mengambil ikatan atau simpulan” dan bersabda kepada Umar: “Kamu telah mengambil kekuatan (untuk bangun malam)”.

Timbul satu persoalan bagi sesiapa yang mengerjakan Solat Witir sebelum tidur apakah perlu melakukannya sekali lagi apabila bangun pada separuh/akhir malam setelah selesai mengerjakan Solat Tahajjud. Jawapannya ialah tidak perlu, memadai dengan Solat Witir yang telah dikerjakan sebelum tidur itu kerana Nabi Muhammad SAW menegah dikerjakan dua kali Solat Witir dalam satu malam berdasarkan hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Khuzaimah:

لاَ وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: Tidak ada dua witir dalam satu malam.

Tidak timbul soal “membatalkan” Solat Witir yang telah dilakukan sebelum tidur dengan mengenapkan solat tersebut yaitu dikerjakan solat satu rakaat setelah bangun pada separuh/akhir malam untuk Solat Tahajjud kemudian mengerjakan Solat Witir sekali lagi setelah selesai Solat Tahajjud.

Tetap kekal atas Solat Witir yang dikerjakan sebelum tidur dan tidak perlu “membatalkannya” setelah bangun pada separuh/akhir malam merupakan pendapat tiga imam mazhab iatu Imam Malik, As-Syafie dan Ahmad sebagaimana yang disebut oleh Imam at-Tirmizi didalam Sunannya dibawah “Bab-bab Witir: Bab Yang Datang Bahawa Tiada Dua Witir Dalam Satu Malam”.

Jika diteliti, pada hakikatnya sesiapa yang beramal dengan pendapat “membatalkan” Solat Witir sebenarnya telah mengerjakan tiga kali witir dalam satu malam:

1) Sebelum tidur,
2) Selepas bangun dari tidur untuk mengenapkannya, dan
3) Selepas selesai dari mengerjakan Solat Tahajjud.

Oleh sebab itu Imam al-Mubaa-rakpuu-ri menyebut didalam kitabnya “Tuhfah al-Ahwazi” dalam syarah/penjelasannya kepada hadith “Tidak Ada Dua Witir Dalam Satu Malam” diatas menyatakan bahawa beliau tidak pernah menemui satu hadith marfu’ (bersumber daripada Nabi Muhammad SAW) yang soheh menunjukkan atas thabitnya “membatalkan” Solat Witir.

Kemudian mendatangi tempat tidur.

(4)Membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Naa-s

Melalui perkhabaran Aishah RA yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah.


أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ (ص) كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيْهِمَا فَقَرَأَ فِيْهِمَا (قل هو الله أحد) وَ (قل أعوذ برب الفلق) وَ (قل أعوذ برب الناس) ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk tidur setiap malam Baginda menghimpun dua tapak tangannya kemudian menghembus pada kedua-duanya, maka dibaca pada kedua-dua tapak tangan tersebut Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naa-s. Kemudian Baginda menyapu dengan kedua-dua tapak tangan tersebut apa yang dapat disapu dari badannya bermula dari atas kepala, muka dan depan dari badannya. Baginda melakukan demikian tiga kali (yakni hembus pada dua tapak tangan, baca tiga surah tersebut dan sapu pada badan).

(5)Membaca Ayat al-Kursi (al-Baqarah: 255)

Berdasarkan kisah Abu Hurairah RA yang dibenarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dimana syaitan mengajarnya keutamaan Ayat al-Kursi yang dibaca sebelum tidur:


إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ اْلكُرْسِيِّ , لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللهِ حَافِظٌ , وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ, فَقَالَ النَّبِيُّ (ص): صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوْبٌ , ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: Apabila kamu masuk tidur maka bacalah Ayat al-Kursi, akan sentiasa bersama kamu pemeliharaan dari Allah dan syaitan tidak akan menghampiri kamu hingga ke subuh. Maka bersabda Nabi Muhammad SAW: Apa yang ia beritahu kamu adalah benar dan dia adalah pembohong, itu adalah syaitan.

Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri

Daftar Rujukan:

1) Kitab-kitab hadith yang disebut periwatannya diatas.
2) al-Azkar, Yahya bin Syaraf an-Nawawi.
3) Fiqh as-Sunnah, as-Sayyid Saa-biq.

Sumber: http://assabiel.com/?p=579

Petua Untuk Mudah Qiamullail

Antara ikhtiar yang boleh kita sama-sama amalkan untuk istiqamah berqiamullail:

1- Ikhlas kepada ALLAH dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredhaanNYA, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya dari pengetahuan orang ramai. Ini bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2- Hendaklah melakukan solat malam dengan perasaan dalaman bahawa ALLAH swt menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3- Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun malam berdasarkan pengajian & perbincangan.

4- Memerhati kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah & iltizam melakukan qiamullail khususnya para soliheen di kalangan sahabat & ulama'.

5- Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw.

6- Tidur dalam keadaan berwudhu' seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah saw: "Apabila kamu hendak masuk tidur, berwudhu'lah seperti untuk menunaikan solat."-Hadith riwayat Imam Bukhari & Muslim daripada al-Barra b. Azib.

7- Bersegeralah masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama selepas solat Isya' seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

8- Berzikir dengan wirid-wirid yang ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, dan baca doa tidur. Kerana ia menjadi benteng diri dari kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun.

9- Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari (Qailullah) iaitu sebelum masuk waktu Zuhur atau selepasnya, sekadar dalam setengah jam.

10- Elakkan dari banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11- Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12- Menjauhi dosa dan maksiat, kerana ia dikenal pasti sebagai penghalang pertama & utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13- Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Sumber:
http://nasihatmotivasi.com
http://www.nasihatmotivasi.com/search/label/qiamullail 

Friday, April 15, 2011

Cukupkah sekadar mengucapkan ‘Alhamdulillah’

Kita seringkali mengungkapkan ‘Alhamdulillah’ setelah memperoleh sesuatu yang disenangi. Sehinggakan artis-artis pun tidak lepas dari mengucapkannya. Namun, kadang-kadang dalam perkara yang tidak disukai juga perlu kita lafazkan ‘Alhamdulillah’. Ingin saya petikkan satu firman Allah swt yang bermaksud;

“..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” –AlBaqarah:216-

Contohnya, dalam suatu mesyuarat B dan C memberi pendapat yang berlainan. Sebagai ketua, C akan memilih satu sahaja pendapat yang terbaik. Sekiranya C memilih pendapat B, B perlu berdoa agar perlaksanaan pendapatnya tidak membawa bahaya kepada society. Pada masa yang sama, A perlu bersyukur kerana mungkin perlaksanaan pendapatnya boleh membawa musibah kepada society. Kesimpulannya, segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Berbaik sangkalah dengan Allah. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hambanya.

Walau bagaimanapun, cukupkah jika kita hanya melafazkan ’Alhamdulillah’ sabagai tanda syukur? Sedangkan kita telah menerima pelbagai nikmat daripada Alah dalam sedar dan tidak sedar.

Rasulullah saw. pernah ditanya oleh seorang sahabatnya:
“Ya Rasulullah, kenapa engkau sanggup berjaga malam untuk solat sehingga bengkak kakimu, sedangkan Allah telah menjanjikan syurga untukmu.”

Rasulullah saw. Menjawab pertanyaan sahabat itu:
“Salahkah aku,jika aku melahirkan tanda syukurku kepada Allah?”

Dari kisah ini, terserlah peribadi mulia Rasulullah saw. Di mana kita jika dibandingkan dengan Rasulullah? Tasbih, Tahmid dan Takbir 33 kali selepas solat belum tentu kita dapat buat secara istiqamah. Tetapi, kita seringkali bangga dengan apa yang kita miliki. Sedangkan, semua itu bukan milik kita.

Tepuk dada tanyalah iman, bagaimana kita lahirkan tanda syukur pada Tuan Punya Dunia.

“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” –Al Isra’:79-

Wallahu a’lam...

Sumber: http://mutiaralautbiru.blogspot.com/2008/07/cukupkah-sekadar-mengucapkan.html

Resepi Rahsia Memperoleh Kejayaan Yang Hakiki


Pagi tadi mengikuti kuliah agama di musolla di Pengkalan Chepa. Walaupun rutin mingguan, wajah-wajah yang hadir menampakkan bahawa mereka datang bukan kerana ia merupakan satu rutin, atau kerana telah jadi kelaziman, tapi datang kerana bersemangat dan rindu mendengarkan tazkirah untuk menyucikan hati yang selalu saja terlalai. Itulah hati-hati yang rindu untuk berkumpul di bawah lembayung ukhuwwah. Tazkirah-tazkirah dan sahabat-sahabat yang soleh, keduanya memberi kekuatan dan mengembalikan stamina iman yang sentiasa bertambah dan berkurang.

Amat seronok dapat satu rahsia yang hebat hari ini. Justeru saya ingin kongsikan bersama di sini. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat. Sebelum ini saya telah pun pernah mendengar dan membaca hadith ke 29 Imam Nawawi rahimallah ini. Tapi sebab hari ni, dikupas dengan agak mendalam, baru betul-betul boleh appreciate. Saya yakin kita semua pun begitu. Mungkin dah kerapkali singgah di telinga, tapi sebab kita take it for granted, kita tak betul2 dapat gist dia dan tak benar-benar dapat aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ya Allah, jangan jadikan kami daripada golongan yang rugi!

- عن معاذ بن جبل رضي الله عنه قال ( قلت يا رسول الله أخبرني بعمل يدخلني الجنة ويباعدني من النار )
Daripada Muaz bin Jabal radhiyallahu anhu; beliau berkata: Aku telah berkata:
Wahai utusan Allah! Beritahulah aku tentang suatu amalan, yang boleh memasukkan aku ke dalam Syurga, dan menjauhkanku daripada Neraka.

Inilah satu permintaan Muaz radhiallahu anhu. Agar Rasulullah sudi memberitahu resepi rahsia memperoleh kejayaan yang hakiki. Bukankah ALLAH telah berfirman

- ( فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ) ال عمران 185
Maka barangsiapa dihindarkan daripada Neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah berjaya! Dan kehidupan dunia ini tidak lain, hanyalah perhiasan yang menipu?

فقال النبي صلى الله عليه وسلم ( لقد سألتني عن عظيم
 Maka Rasulullah sallallahu alayhi wasallam menjawab; Sungguh engkau ini telah bertanyakanku tentang sesuatu yang besar! 
Rasulullah agak kagum dengan persoalan yang dilontar kepada baginda. Selalunya soalan yang diluahkan akan menggambarkan bagaimana personaliti, sikap, dan karakter si penanya. Soalan ini menunjukkan bahawa Muaz r.a merupakan seorang yang begitu mengambil berat dan memikirkan tentang bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita yang terlalu didambakan. Soalan yang sentiasa bermain di fikirannya.Sehingga bila beroleh peluang duduk berdua, memang akan ditanyakan secara langsung secara individu. Seolah-olah beliau mahu baginda memberitahunya secara individu saja, apakah amalan rahsia itu? Yang bakal menjadi tiket membolehkannya menapak ke gerbang Syurga dan dihindarkan jauh daripada Neraka? Besar. Besar sekali persoalanmu wahai sahabat Rasulullah yang mulia! Bertanya tentang kunci syurga yang nikmatnya itu
فيها ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر
tidak pernah terbayang di mata, tidak pernah terdengar di telinga dan tak pernah terlintas di hati manusia!

Rasulullah pun berkata lagi;

( وإنه ليسير على من يسره الله عليه
Namun ia akan jadi mudah bagi siapa yang dimudahkan jalannya oleh Allah!

Wahai jiwa yang resah, usah bimbang. Bukankah Allah telah berfirman

( وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا ) الطلاق4.
Sesiapa yg bertaqwa kepada Allah nescaya akan dimudahkan baginya segala urusanny?

PERTAMA

( تعبد الله ولا تشرك به شيئاً )
Kamu sembah Allah dan beribadah kepadaNya, dan jangan menyengutukanNya dengan sesuatu apa pun!

Yakni kita beribadah dan menyembahNya semata, menurut segala perintahNya, menjauhi setiap tegahanNya, segalanya itu kita laksanakan dan tinggalkan dengan keikhlasan hanya padaNya. Kerana syarat sah ibadah itu ialah ikhlas kerana Allah, bukan kerana sebab-sebab yang lain.

KEDUA

وتقيم الصلاة
Kamu mendirikan solat

Yakni kamu menunaikannya dengan sebaik-baiknya. Menjaga waktunya, khusyuknya, rukun-rukunnya dan syarat-syarat sahnya. Bukan sekadar solat di akhir waktu tanpa kehadiran hati.

KETIGA

( وتؤتي الزكاة )
Kamu tunaikan kewajipan zakat
Yakni sejumlah wang atau harta yang telah diwajibkan Allah ke atas orang yang berkemampuan di kalangan muslimin, mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu dengan syarat tertentu kepada orang-orang faqir serta yang memerlukan

KEEMPAT

( وتصوم رمضان ).

Kamu berpuasa di bulan Ramadhan

Yakni sebenar-benar puasa (imanan wahtisaban) dengan sepenuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah. Menjaga puasa daripada setiap yang merosakkan puasa. Bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata.

KELIMA

وتحج البيت
Kamu pergi menunaikan haji ke Baitullah

ثم قال : ألا أدلك على أبواب الخير؟
Kemudian baginda bersabda; " Mahukah kamu jika aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan?

Masya Allah! Rupanya kebaikan itu ada pintu-pintunya! Patutlah kita selalu tak dapat istiqomah dengan kebaikan. Terkadang silap langkah. Mungkin kerana kita tak masuk melalui pintunya yang betul.
Apakah dia pintu-pintu ya Rasulallah?
Yang dapat menyampaikanku ke arah kebaikan?
Khabarkanku wahai kekasih Allah! Sudah tentu kumahu tahu! Seakan-akan mendengar jeritan batin sahabatnya yang dikasihi, lantas baginda menjawab:

الصوم جنّة
Puasa itu adalah perisai

Yakni junnah. Perisai yang dapat menjadi penghalang daripada melakukan maksiat kepada Allah ketika kita berpuasa. Manakala di hari Qiamat puasa datang melindungi kita sebagai perisai daripada dicampak ke dalam neraka.

( والصدقة تطفئ الخطيئة كما يطفئ الماء النار )
Sedekah menghapuskan dosa sepertimana air memadamkan api.

Bersedekah ialah membelanjakan wang kita kepada faqir miskin yang memerlukan sebagai satu amalan taqarrub kita kepada Allah. Bermakna kita perlu kepada banyak bersedekah bagi menghapuskan dosa-dosa kita!

( وصلاة الرجل من جوف الليل )
"... dan solat seorang lelaki di waktu jauh malam (qiyamullail di sepertiga malam)"

ثم قرأ ( تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُون*فَلَا
تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونََ )
Kemudian baginda membacakan surah Al-Sajadah ayat 16-17
"Lambung mereka jauh daripada tempat tidur, mereka merayu dan memohon kepada Tuhan mereka dengan sepenuh takut dan harap dan daripada apa yang dikurniakan kepada mereka itu, mereka infaqkan di jalan Allah. Maka manusia tidak mengetahui apa yang disembunyikan khas buat mereka daripada kenikmatan yang paling disukai, sebagai balasan apa yang telah mereka perbuat."
- ثم قال صلى الله عليه وسلم
ألا أخبركم برأس الأمر كله وعموده وذروة سنامه؟ قلت: بلى يا رسول الله
Kemudian baginda bertanya:
Mahukah kamu jika kuberitahu pangkal agama, tiang, dan puncak tertingginya?
Kataku(Muaz): Sudah tentu ya Rasulullah!

قال : رأس الأمر الإسلام
Pangkal segala urusan itu ialah Islam.

( وعموده الصلاة )
Tiang agama itu solat
Yakni tiang Islam itu solat, yang dengannya tegak kukuhlah agama seseorang itu. Dan takkan teguh berdiri tanpa tiang itu. Meninggalkan solat mengeluarkan seseorang ke batas kufur walaupun bukanlah kafir dalam erti kata sebenar (jadi orang kafir)
Bukankah baginda telah bersabda bahawa beza antara seorang muslim dan kafir itu solat? Dan tiang itu ialah, sesuatu yang jika bangunan itu tiada padanya tiang, atau tiangnya runtuh, maka runtuh binasalah bangunan itu. Maka bagaimanakah agama seseorang tanpa solat? Bagaimana pula agama seseorang yang tidak bersungguh-sungguh menjaga solat? Adakah tiang itu kukuh atau bila-bila saja boleh jatuh tersungkur menyembah bumi?

ذروة سنامه الجهاد
Puncak tertinggi agama adalah Jihad
Sebab kerana jihad itu meninggikan kalimah Allah dan menzahirkan ketinggiannya.

Baginda menyambung lagi

ألا أخبرك بملاك ذلك كله ؟ ) قلت: بلى يا رسول الله , فأخذ بلسانه ).
Maukah kamu andai kutunjukkan apakah kendali semua itu?Aku berkata: Sudah tentu wahai utusan Allah! Maka baginda pun memegang lidahnya

وقال كف عليك هذا

Dan baginda pun berkata "JAGALAH INI "

Menurut Syeikh Ibn Uthaimin, ini juga menunjukkan harusnya mengajar dengan menggunakan isyarat agar apa yang disampaikan lebih terkesan ke hati murid, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Baginda boleh saja kata, jagalah lidahmu. Tetapi bagi menunjukkan besarnya mesej yang cuba baginda sampaikan, dan agar Muaz akan sentiasa mengingatinya, baginda memilih untuk memegang lidahnya (akhoza bilisanihi-ambil lidah baginda) dan kemudian baru menerangkannya.

يا نبي الله وإنا لمؤاخذون بما نتكلم به؟
Muaz bertanya; Wahai Nabi Allah, adakah kita akan disiksa kerana perkataan kita?

ثكلتك أمك يا معاذ ، وهل يكب الناس في النار على وجوههم أو قال على مناخرهم ،
إلا حصائد ألسنتهم

Baginda menjawab: "Bahkan ya Muaz! Bukankah kebanyakan orang yang terhumban ke neraka hanya angkara lidah mereka?"


Jadi di sini Rasulullah mahu umatnya betul-betul sedar bahaya lidah.

Alangkah besarnya akibat dan bahana lidah yang kecil ini! Ia boleh jadi sebab tergelincirnya kaki kita ke neraka. Wal 'iyyaazubillah!

Ayuhlah kita berwaspada dengan lidah. Kalimah-kalimah yang terbit darinya. Jangan sedap mulut sahaja. Berfikir dahulu sebelum berkata kerana dua malaikat di sisi tak lalai mencatatkannya. Jangan sampai menipu. Jangan mengeluarkan kata-kata negatif. Jangan sampai mengumpat. Jangan sampai meninggikan suara. Jangan sampai ada hati-hati yang terluka dek lidah tajam kita. Jangan sampai menghina.

Mulai saat ini, biarlah yang terbit itu yang akan membentangkan laluan kita ke syurga. Zikrullah, istighfar, kata-kata yang baik, kata-kata positif, kata-kata manis yang menggembirakan perasaan orang lain, kata-kata perangsang, kata-kata yang mengajak orang ke arah kebaikan dan sebagainya.

Demikianlah hadith yang begitu banyak memberikan kita kekuatan, memberitahu kita rahsia-rahsia menempah tempat di Syurga dan menjauhkan kita dari Neraka. Rasulullah banyak menggunakan uslub(cara) mengemukakan pertanyaan-pertanyaan kepada yang bertanya. Ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian dan merangsang semangat pendengar dan penyoal. Ini adalah satu uslub pengajaran yang baik dan hebat.

Jom kita recap balik, apakah 10 rahsia-rahsia hebat kita tadi:

Amal yang dapat memasukkan kita ke Syurga dan menjauhkan Neraka
(1) Sembah Allah dan jangan syirik
(2) Jaga solat
(3) Zakat
(4) Puasa Ramadhan
(5) Haji bagi yang mampu saja

Pintu-pintu kebaikan
(6) Puasa
(7) Sedekah
(8) Solat malam

Kepala (pangkal) agama
(9) Islam

Tiang agama
(Sama dengan nombor 2= Solat

Puncak agama
(10) Jihad

Alangkah beruntungnya kita jika kita dapat sungguh-sungguh berpegang dengan 10 perkara ini sepanjang hidup kita. Memanglah 5 tiket yang pertama itu rukun Islam. Tapi Rasulullah kata, itulah amalan-amalan yang menjadi tiket ke syurga. Maknanya kena jaga betul-betul yang lima ni. Bukan buat ala kadar. Walaupun nampak macam sikit, tapi sebenarnya berat dan setiap satunya mencakupi ruang yang besar dan luas. Tapi ingat, siapa yang Allah mudahkan, akan jadi mudah je untuk dia. Sama-sama kita doa Allah mudahkan kita, jangan sampai kita rasa sulit untuk beramal. Alangkah beruntungnya dan alangkah bertuahnya kita.

Tapi the bottom line is, jangan sampai kita rasa, kerana amal kita itulah yang melayakkan kita ke Syurga. Semuanya adalah dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Mukmin itu sentiasa dalam dua situasi hati iaitu takut (khouf) dan harap (roja'). Oleh itu dengan beramal ini kita sebenarnya sedang dalam keadaan berharap untuk memperoleh redha Allah dan syurga Nya. Banyakkan berdoa dan berdoa. Semoga kita semua dikurniakan taufiq oleh Allah untuk beramal. Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'Alameen~

Walimah Al-Urus

PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS

Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.

PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS

Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”
(Al-Hadith)

TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS

Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:

1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.
2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.
4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.
ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.
iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.
iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.
v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.
vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.
vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.
viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.
ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.

Sumber: http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/munakahat/jemputan.htm

Hukum Tabarruj Bagi Perempuan


1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-”Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-”Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

5. Gigi
-’Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)
-”Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-”Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-”Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-”Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).
-”Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).
-”Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-”Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-”Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

sumber:http://epondok.wordpress.com/category/pondok-pasir-tumboh/

Apa Itu Kalimah Toyyibah


Kalimah ( أشهد أنْ لا إله إلا الله ) membawa erti Aku bersaksi bahawa 'Tiada Yang Berhak Disembah Melainkan Allah' iaitu dengan makna ( لا معبودَ بحقّ إِلا الله ). Iaitu tiada Tuhan yang kita berhak menyembahnya dengan merendahkan diri serendah-rendahnya ( نهاية التذلّل ) melainkan Allah Ta'ala. Adapun, orang-orang kafir menyembah tuhan lain (pada sangkaan mereka itulah tuhan mereka seperti berhala, lembaga besar di atas 'Arasy dan lain-lain) yang hakikatnya bukan tuhan, maka itu sebenarnya bukanlah tuhan yang sebenar yang berhak disembah.

Dan perlu ditegaskan bahawa hanya Allah sahaja yang perlu kita ketahui, yakini dan iktiraf adalah Tuhan yg Hak berhak untuk disembah dengan pengabdian diri hanyalah kepadaNya. Dan kita tidak boleh mengiktiraf tuhan lain seperti yg disangka puak kuffar sebagai tuhan.

Firman Allah Ta'ala:
إياك نعبد
Hanya Engkau (Yang Berhak & Layak) Kami Sembah [Surah al-Fatihah : 5]

Manakala kalimah (أشهد) membawa erti:
(Aku Mengetahui, Aku Meyakini/Mempercayai, Aku Iktiraf)
(I Know, I Believe, I Declared)
( أعلمُ وأعتقدُ وأعترفُ) 
Maka hendaklah kita bersaksi (mengetahui di hati dan mempercayai di hati dengan mengiktirafkan (melafazkan) dengan lisan) bahawa Tiada Tuhan Yang Sebenar Yang Berhak Untuk Disembah Melainkan Allah Sahaja.


Setiap mukallaf itu hendaklah mengetahui dan memahami (ma'rifah) tentang Allah & RasulNya dengan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah sekali seumur hidupnya untuk masuk ke dalam Islam. Walaubagaimanapun, bagi mukallaf yang telah dilahirkan di dalam Islam (ibu & ayahnya telah Islam), maka cukuplah dengan diwajibkan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah pada setiap kali solatnya yang ditunaikan.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:

أشهد أنْ لا إله إلا الله وأشهد أنَّ محمدًا رسول الله
[Aku Bersaksi Bahawa Tiada Tuhan (Yg Berhak Disembah)
Melainkan Allah Dan (Nabi) Muhammad Adalah Rasul Allah]

Bagi mukallaf yg pada asalnya kafir, maka hendaklah dia mengucapkan dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah ini dengan betul dan tepat. Dan hendaklah diterjemahkan pada bahasa yang dia fahami jika tidak memahami Bahasa 'Arab bagi A'jamiyyan. Perlu kita ketahui bahawa setiap perkataan yg dilafazkan perlu tepat dan jika tidak mampu untuk menyebut dengan tepat seperti pada huruf ha pedas bagi kalimah (محمدًا) maka boleh disebut dengan (أبا القاسم) iaitu 'Bapa kepada Qasim' yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم).

SUMBER: http://ar-rifaeyy.blogspot.com/

I'm A Servant Of Allah


The moment my body enter this world,
There is only one most important thing that I must remember
I must keep this words in my mind and my heart
"I'm a servant of Allah"

Here...
In this world
There is no time for me to enjoy playing such useless things
There is no time for me to do such vain things
the is one thing I need to think
I have a covenant to be taken care of
because
I'm a servant of Allah

I keep asking myself
Why was I created?
Why am I here?
What am I doing in this world?
Why did Allah create me?
But, then
All those questions already answered by Allah

"We did not create the jinn and men except to worship us"
[Surah adh-Dhariyyat, verse 56]


Now...I realize
The purpose of this life is the worship of Allah
This life is a test
A test for me
will I worship and remember Allah
or will I forget Him
This is where my focus has to begin
'As A Khalifatullah'
by
--spreading the beauty of Islam as creative as I can through writing medium with the help from Allah--


"Allah created all things, and he is the agent, upon which, all things depend."
[Surah 39, verse 62]

Di Sini Kalam Qalbi Bermula


Bismillaahirrahmaanirraahiim

Ya Allah
Aku insan lemah
Permudahkanlah aku untuk mencintai apa yang Engkau cinta
Bantulah aku untuk terus membenci apa yang Engkau murka

Ya allah
kurniakanlah ketenangan, kekuatan dan petunjukMU kepadaku
agar aku dapat mmbezakan apa yang dicintaiMU dan apa yang dimurkaiMU
Sedarkanlah aku bahawa segala yang hadir dalam hidupku adalah milik mutlakMu

Jadikanlah perjalanan hidupku sepanjang meniti arus perjuangan di persinggahan ini
mendekatkan lagi diriku padaMu

Jadikanlah titisan mutiara laut biru dari seluas lautan ilmuMu yang Kau pinjamkan kepadaku ini
mengindahkan lagi akhlakku padaMu
menyegarkan lagi cintaku padaMu
menyuburkan lagi imanku padaMu

My mouth begin to speak
But there is no voice out from my throat
The harder I try to speak
The weaker the voice be
And finally silence surround me

Now and here
My heart start talking
With the help of my fingers
I begin expressing
what my heart feel
And what my mind think