Monday, May 9, 2011

Setiap Bait Kata Seorang Ibu Adalah Doa

Anak derhaka tidak terbilang
Kawan dibakti ibu dibuang
Ilmu agama beransur hilang
Para ulama kian berkurang
Ilmu dunia semakin cemerlang
Menjadi tumpuan smua orang

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila zaman telah dekat, mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak, tidak ada rasa hormat kepada orang yang lebih tua dan tidak ada rasa kasih sayang kepada anak yang lebih kecil, anak-anak zina semakin ramai sehingga laki-laki menyentap perempuan di jalan. Mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala.” (Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim)
Refleksi terhadap realiti kehidupan ini, seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak. Tetapi, di sebalik pengorbanan itu belum tentu sepuluh orang anak mampu menjaga dan berbakti kepada seorang wanita yang bernama ibu. Membesarkan anak adalah mudah tetapi hendak membentuk peribadi seorang anak memerlukan pengorbanan yand sangat tinggi.

“Dan Kami wasiatkan kepada manusia, terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali.” (Surah al-Lukman ayat 14).

Meyingkap kembali kisah si Tanggang, arahan oleh Dato’Jamil Sulong (1961), dilakonkan oleh Dato’ Jins Samsuddin sebagai Tanggang dan Nurmadiah sebagai Dermai, ibu kepada Tanggang. Kisah popular ini memaparkan bagaimana pengorbanan seorang ibu dalam mendidik seorang anak dari kecil sehingga dewasa. Namun, segala jerih payah si ibu bukan sahaja telah dilupakan oleh si Tanggang malah dibalas pula dengan tindakan kasar sehingga mengguris perasaan ibunya. Akhirnya, setelah kecewa dengan sikap Tanggang yang tidak mengenal siapa dirinya, doa si ibu dimakbulkan oleh Allah dan riwayat hidup si Tanggang berakhir  dengan gelaran si Tanggang anak derhaka. Kisah-kisah lain yang menyelitkan pengajaran yang sama  ialah seperti Tanah Kubur, Pondok Buruk dan Malin Kundang.

Kisah si Tanggang mungkin sudah lama untuk dibicarakan. Namun begitu, jika dunia zaman kuno boleh berubah menjadi moden, si Tanggang juga tidak mustahil boleh bertukar menjadi si Tanggang moden. Catatan sejarah, 15 Januari 2010, seorang lelaki yang menghidap penyakit buah pinggang ditinggalkan oleh anaknya di  pusat hemodialisis yang terletak di Kangar. Selain itu, bilangan penghuni di Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mencecah peningkatan sebanyak 30% dan kajian daripada  Jabatan Kebajikan Perubatan Sosial telah mencatatkan sebanyak 368 pesakit di Hospital Kuala Lumpur tidak dijemput sehingga Oktober 2009 yang lalu. Ini mengambarkan bahawa terlalu ramai kelahiran gologan si Tanggang moden. 

Cuba kita renung kembali kenapa perkara ini boleh terjadi? 
Apakah punca utama wujudnya golongan seperti ini? 
Dan sekiranya si Tanggang moden ini berleluasa di muka bumi ini, apakah kesannya kepada kehidupan kita dan kehidupan akan datang? 
Siapa golongan yang perlu memainkan perana penting untuk menyelesaikan masalah ini? 

Sudah tentulah salah satu punca utama yang diabaikan oleh rata-rata ibu bapa pada zaman moden in ialah kurangnya didikan agama. Ibu bapa tidak sepatutnya hanya mementingkan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi kecemerlangan dari sudut akhlak dan peribadi diri yang berkualiti juga perlu diserapkan dalam mendidik dan membentuk anak-anak.

Pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kebiadapan seorang anak kepada orang tuanya. Akibat mementingkan kehendak kawan-kawan, perasaan dan kehendak ibu bapa diabaikan. Di mana prioriti kita?Kawan atau ibu bapa? Tambahan pula, redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Sekiranya kawan yang dipilih adalah seorang yang berperibadi mulia, sudah tentu kita dibimbing untuk berbakti kepada ibu bapa.

“Berbaktilah kamu kepada ibu bapa kamu agar anak-anakmu kelak berbakti kepadamu dan peliharalah dirimu daripada penzinaan agar isteri-isteri kamu memelihara dirinya” (Hadith Riwayat Tabrani)

Sikap derhaka kepada orang tua ini memberi kesan negatif bukan sahaja kepada generasi kini malah ia melibatkan generasi akan datang. Merujuk kepada hadith riwayat Tarmizi  di dalam buku empat puluh hadith tentang pristiwa akhir zaman susunan oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (m/s 80), salah satu penyebab turunnya bala dari Allah adalah derhaka kepada ibu bapa. Memang tidak dapat dinafikan terlalu banyak gempa bumi berlaku baru-baru ini. Tanda-tanda ini menunjukkan bahawa semakin hampirnya hari kiamat. Inilah yang dikatakan ibu telah melahirkan tuannya. Pepatah barat;“What you give, you get back” ada benarnya. Akhlak dan peribadi kita ketika usia remaja dapat memberi kesan kepada anak-anak kita. Apa yang kita beri kepada ibu bapa kita sekarang, kita akan dapat kembali daripada anak-anak kita. 

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.
Rasulullah s.a.w. bersabda;“Dua kejahatan yang dibalas oleh Allah di dunia adalah berzina dan derhaka kepada ibu bapa.”(Hadith Riwayat tabrani).
 Jelaslah di sini bahawa, derhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang disegerakan azabnya di dunia. Oleh itu, berhati-hatilah  dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang ibu kerana setiap bait katanya adalah doa.
Daripada Abu Abd Rahman Abdullah bin Mas’ud, “Aku brtanya kpd Nabi s.a.w. amalan manakah paling disukai Allah?” Baginda menjawab, “solat pada waktunya”. “Saya bertanya lagi,kemudian apa?”  Baginda menjawab, “kemudian berbakti kepada orang tua.” “ Saya bertanya lagi,kemudian apa?” Baginda menjawab, “ jihad pd jalan Allah.””


Suruhan berbakti kepada ibu bapa banyak di terangkan di dalam Al Quran. Di antaranya dalam Surah Annisa’(ayat 36), Al-Isra’(ayat 23 hingga 24) dan surah Luqman(ayat 14). Berdasarkan ayat-ayat ini, Allah menyuruh manusia menjaga kebajikan dan hubungan dengan orang tua dan kita dilarang menderhaka kepada mereka  selagi sesuatu yang disuruh oleh ibu bapa tidak bertentangan dengan hukum syara’.

Dalam mencari penyelesaikan kepada krisis si Tanggang moden ini , kedua-dua belah pihak iaitu ibu bapa dan anak-anak  memainkan peranan penting . Menerusi medium teknologi tanpa batasan yang semakin meningkat kemajuannya, ibu bapa perlu menggunakan segala kemudahan teknologi yang sedia ada supaya didikan anak-anak berlaku secara berterusan. Selain itu, insan yang bergelar seorang ibu perlu berhati-hati dalam berbicara. Rasulullah s.a.w. bersabda, “berkatalah baik atau diam”. Dalam hal ini, ibu bapa perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah. 

Kita yang bergelar anak juga perlu berhati-hati dalam bertutur bicara dengan ibu bapa. Penderhakaan kepada orang tua tidak berlaku secara lahiriah atau di hadapan ibu bapa sahaja. Tindakan fizikal lain yang mungkin tidak diketahui oleh ibu bapa kita boleh dikategorikan sebagai menderhaka atau menzalimi ibu bapa secara tidak langsung. Contoh terdekat ialah kehidupan anak-anak sebagai seorang pelajar. Gejala ponteng kelas tanpa sebab dan menunakan duit untuk perkara yang tidak sepatutnya juga merupakan salah satu jenis penderhakaan kepada ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap diri anak-anak itu perlu ada cita-cita untuk menjadi insan yang soleh dan solehah kerana itu adalah impian ibu bapa kita. Hanya tiga amalan yang akan menemani kita ke kubur setelah roh berpisah dari jasad iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh. Wallahu a’lam.