Friday, April 15, 2011

Resepi Rahsia Memperoleh Kejayaan Yang Hakiki


Pagi tadi mengikuti kuliah agama di musolla di Pengkalan Chepa. Walaupun rutin mingguan, wajah-wajah yang hadir menampakkan bahawa mereka datang bukan kerana ia merupakan satu rutin, atau kerana telah jadi kelaziman, tapi datang kerana bersemangat dan rindu mendengarkan tazkirah untuk menyucikan hati yang selalu saja terlalai. Itulah hati-hati yang rindu untuk berkumpul di bawah lembayung ukhuwwah. Tazkirah-tazkirah dan sahabat-sahabat yang soleh, keduanya memberi kekuatan dan mengembalikan stamina iman yang sentiasa bertambah dan berkurang.

Amat seronok dapat satu rahsia yang hebat hari ini. Justeru saya ingin kongsikan bersama di sini. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat. Sebelum ini saya telah pun pernah mendengar dan membaca hadith ke 29 Imam Nawawi rahimallah ini. Tapi sebab hari ni, dikupas dengan agak mendalam, baru betul-betul boleh appreciate. Saya yakin kita semua pun begitu. Mungkin dah kerapkali singgah di telinga, tapi sebab kita take it for granted, kita tak betul2 dapat gist dia dan tak benar-benar dapat aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ya Allah, jangan jadikan kami daripada golongan yang rugi!

- عن معاذ بن جبل رضي الله عنه قال ( قلت يا رسول الله أخبرني بعمل يدخلني الجنة ويباعدني من النار )
Daripada Muaz bin Jabal radhiyallahu anhu; beliau berkata: Aku telah berkata:
Wahai utusan Allah! Beritahulah aku tentang suatu amalan, yang boleh memasukkan aku ke dalam Syurga, dan menjauhkanku daripada Neraka.

Inilah satu permintaan Muaz radhiallahu anhu. Agar Rasulullah sudi memberitahu resepi rahsia memperoleh kejayaan yang hakiki. Bukankah ALLAH telah berfirman

- ( فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ) ال عمران 185
Maka barangsiapa dihindarkan daripada Neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah berjaya! Dan kehidupan dunia ini tidak lain, hanyalah perhiasan yang menipu?

فقال النبي صلى الله عليه وسلم ( لقد سألتني عن عظيم
 Maka Rasulullah sallallahu alayhi wasallam menjawab; Sungguh engkau ini telah bertanyakanku tentang sesuatu yang besar! 
Rasulullah agak kagum dengan persoalan yang dilontar kepada baginda. Selalunya soalan yang diluahkan akan menggambarkan bagaimana personaliti, sikap, dan karakter si penanya. Soalan ini menunjukkan bahawa Muaz r.a merupakan seorang yang begitu mengambil berat dan memikirkan tentang bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita yang terlalu didambakan. Soalan yang sentiasa bermain di fikirannya.Sehingga bila beroleh peluang duduk berdua, memang akan ditanyakan secara langsung secara individu. Seolah-olah beliau mahu baginda memberitahunya secara individu saja, apakah amalan rahsia itu? Yang bakal menjadi tiket membolehkannya menapak ke gerbang Syurga dan dihindarkan jauh daripada Neraka? Besar. Besar sekali persoalanmu wahai sahabat Rasulullah yang mulia! Bertanya tentang kunci syurga yang nikmatnya itu
فيها ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر
tidak pernah terbayang di mata, tidak pernah terdengar di telinga dan tak pernah terlintas di hati manusia!

Rasulullah pun berkata lagi;

( وإنه ليسير على من يسره الله عليه
Namun ia akan jadi mudah bagi siapa yang dimudahkan jalannya oleh Allah!

Wahai jiwa yang resah, usah bimbang. Bukankah Allah telah berfirman

( وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا ) الطلاق4.
Sesiapa yg bertaqwa kepada Allah nescaya akan dimudahkan baginya segala urusanny?

PERTAMA

( تعبد الله ولا تشرك به شيئاً )
Kamu sembah Allah dan beribadah kepadaNya, dan jangan menyengutukanNya dengan sesuatu apa pun!

Yakni kita beribadah dan menyembahNya semata, menurut segala perintahNya, menjauhi setiap tegahanNya, segalanya itu kita laksanakan dan tinggalkan dengan keikhlasan hanya padaNya. Kerana syarat sah ibadah itu ialah ikhlas kerana Allah, bukan kerana sebab-sebab yang lain.

KEDUA

وتقيم الصلاة
Kamu mendirikan solat

Yakni kamu menunaikannya dengan sebaik-baiknya. Menjaga waktunya, khusyuknya, rukun-rukunnya dan syarat-syarat sahnya. Bukan sekadar solat di akhir waktu tanpa kehadiran hati.

KETIGA

( وتؤتي الزكاة )
Kamu tunaikan kewajipan zakat
Yakni sejumlah wang atau harta yang telah diwajibkan Allah ke atas orang yang berkemampuan di kalangan muslimin, mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu dengan syarat tertentu kepada orang-orang faqir serta yang memerlukan

KEEMPAT

( وتصوم رمضان ).

Kamu berpuasa di bulan Ramadhan

Yakni sebenar-benar puasa (imanan wahtisaban) dengan sepenuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah. Menjaga puasa daripada setiap yang merosakkan puasa. Bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata.

KELIMA

وتحج البيت
Kamu pergi menunaikan haji ke Baitullah

ثم قال : ألا أدلك على أبواب الخير؟
Kemudian baginda bersabda; " Mahukah kamu jika aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan?

Masya Allah! Rupanya kebaikan itu ada pintu-pintunya! Patutlah kita selalu tak dapat istiqomah dengan kebaikan. Terkadang silap langkah. Mungkin kerana kita tak masuk melalui pintunya yang betul.
Apakah dia pintu-pintu ya Rasulallah?
Yang dapat menyampaikanku ke arah kebaikan?
Khabarkanku wahai kekasih Allah! Sudah tentu kumahu tahu! Seakan-akan mendengar jeritan batin sahabatnya yang dikasihi, lantas baginda menjawab:

الصوم جنّة
Puasa itu adalah perisai

Yakni junnah. Perisai yang dapat menjadi penghalang daripada melakukan maksiat kepada Allah ketika kita berpuasa. Manakala di hari Qiamat puasa datang melindungi kita sebagai perisai daripada dicampak ke dalam neraka.

( والصدقة تطفئ الخطيئة كما يطفئ الماء النار )
Sedekah menghapuskan dosa sepertimana air memadamkan api.

Bersedekah ialah membelanjakan wang kita kepada faqir miskin yang memerlukan sebagai satu amalan taqarrub kita kepada Allah. Bermakna kita perlu kepada banyak bersedekah bagi menghapuskan dosa-dosa kita!

( وصلاة الرجل من جوف الليل )
"... dan solat seorang lelaki di waktu jauh malam (qiyamullail di sepertiga malam)"

ثم قرأ ( تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُون*فَلَا
تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونََ )
Kemudian baginda membacakan surah Al-Sajadah ayat 16-17
"Lambung mereka jauh daripada tempat tidur, mereka merayu dan memohon kepada Tuhan mereka dengan sepenuh takut dan harap dan daripada apa yang dikurniakan kepada mereka itu, mereka infaqkan di jalan Allah. Maka manusia tidak mengetahui apa yang disembunyikan khas buat mereka daripada kenikmatan yang paling disukai, sebagai balasan apa yang telah mereka perbuat."
- ثم قال صلى الله عليه وسلم
ألا أخبركم برأس الأمر كله وعموده وذروة سنامه؟ قلت: بلى يا رسول الله
Kemudian baginda bertanya:
Mahukah kamu jika kuberitahu pangkal agama, tiang, dan puncak tertingginya?
Kataku(Muaz): Sudah tentu ya Rasulullah!

قال : رأس الأمر الإسلام
Pangkal segala urusan itu ialah Islam.

( وعموده الصلاة )
Tiang agama itu solat
Yakni tiang Islam itu solat, yang dengannya tegak kukuhlah agama seseorang itu. Dan takkan teguh berdiri tanpa tiang itu. Meninggalkan solat mengeluarkan seseorang ke batas kufur walaupun bukanlah kafir dalam erti kata sebenar (jadi orang kafir)
Bukankah baginda telah bersabda bahawa beza antara seorang muslim dan kafir itu solat? Dan tiang itu ialah, sesuatu yang jika bangunan itu tiada padanya tiang, atau tiangnya runtuh, maka runtuh binasalah bangunan itu. Maka bagaimanakah agama seseorang tanpa solat? Bagaimana pula agama seseorang yang tidak bersungguh-sungguh menjaga solat? Adakah tiang itu kukuh atau bila-bila saja boleh jatuh tersungkur menyembah bumi?

ذروة سنامه الجهاد
Puncak tertinggi agama adalah Jihad
Sebab kerana jihad itu meninggikan kalimah Allah dan menzahirkan ketinggiannya.

Baginda menyambung lagi

ألا أخبرك بملاك ذلك كله ؟ ) قلت: بلى يا رسول الله , فأخذ بلسانه ).
Maukah kamu andai kutunjukkan apakah kendali semua itu?Aku berkata: Sudah tentu wahai utusan Allah! Maka baginda pun memegang lidahnya

وقال كف عليك هذا

Dan baginda pun berkata "JAGALAH INI "

Menurut Syeikh Ibn Uthaimin, ini juga menunjukkan harusnya mengajar dengan menggunakan isyarat agar apa yang disampaikan lebih terkesan ke hati murid, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Baginda boleh saja kata, jagalah lidahmu. Tetapi bagi menunjukkan besarnya mesej yang cuba baginda sampaikan, dan agar Muaz akan sentiasa mengingatinya, baginda memilih untuk memegang lidahnya (akhoza bilisanihi-ambil lidah baginda) dan kemudian baru menerangkannya.

يا نبي الله وإنا لمؤاخذون بما نتكلم به؟
Muaz bertanya; Wahai Nabi Allah, adakah kita akan disiksa kerana perkataan kita?

ثكلتك أمك يا معاذ ، وهل يكب الناس في النار على وجوههم أو قال على مناخرهم ،
إلا حصائد ألسنتهم

Baginda menjawab: "Bahkan ya Muaz! Bukankah kebanyakan orang yang terhumban ke neraka hanya angkara lidah mereka?"


Jadi di sini Rasulullah mahu umatnya betul-betul sedar bahaya lidah.

Alangkah besarnya akibat dan bahana lidah yang kecil ini! Ia boleh jadi sebab tergelincirnya kaki kita ke neraka. Wal 'iyyaazubillah!

Ayuhlah kita berwaspada dengan lidah. Kalimah-kalimah yang terbit darinya. Jangan sedap mulut sahaja. Berfikir dahulu sebelum berkata kerana dua malaikat di sisi tak lalai mencatatkannya. Jangan sampai menipu. Jangan mengeluarkan kata-kata negatif. Jangan sampai mengumpat. Jangan sampai meninggikan suara. Jangan sampai ada hati-hati yang terluka dek lidah tajam kita. Jangan sampai menghina.

Mulai saat ini, biarlah yang terbit itu yang akan membentangkan laluan kita ke syurga. Zikrullah, istighfar, kata-kata yang baik, kata-kata positif, kata-kata manis yang menggembirakan perasaan orang lain, kata-kata perangsang, kata-kata yang mengajak orang ke arah kebaikan dan sebagainya.

Demikianlah hadith yang begitu banyak memberikan kita kekuatan, memberitahu kita rahsia-rahsia menempah tempat di Syurga dan menjauhkan kita dari Neraka. Rasulullah banyak menggunakan uslub(cara) mengemukakan pertanyaan-pertanyaan kepada yang bertanya. Ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian dan merangsang semangat pendengar dan penyoal. Ini adalah satu uslub pengajaran yang baik dan hebat.

Jom kita recap balik, apakah 10 rahsia-rahsia hebat kita tadi:

Amal yang dapat memasukkan kita ke Syurga dan menjauhkan Neraka
(1) Sembah Allah dan jangan syirik
(2) Jaga solat
(3) Zakat
(4) Puasa Ramadhan
(5) Haji bagi yang mampu saja

Pintu-pintu kebaikan
(6) Puasa
(7) Sedekah
(8) Solat malam

Kepala (pangkal) agama
(9) Islam

Tiang agama
(Sama dengan nombor 2= Solat

Puncak agama
(10) Jihad

Alangkah beruntungnya kita jika kita dapat sungguh-sungguh berpegang dengan 10 perkara ini sepanjang hidup kita. Memanglah 5 tiket yang pertama itu rukun Islam. Tapi Rasulullah kata, itulah amalan-amalan yang menjadi tiket ke syurga. Maknanya kena jaga betul-betul yang lima ni. Bukan buat ala kadar. Walaupun nampak macam sikit, tapi sebenarnya berat dan setiap satunya mencakupi ruang yang besar dan luas. Tapi ingat, siapa yang Allah mudahkan, akan jadi mudah je untuk dia. Sama-sama kita doa Allah mudahkan kita, jangan sampai kita rasa sulit untuk beramal. Alangkah beruntungnya dan alangkah bertuahnya kita.

Tapi the bottom line is, jangan sampai kita rasa, kerana amal kita itulah yang melayakkan kita ke Syurga. Semuanya adalah dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Mukmin itu sentiasa dalam dua situasi hati iaitu takut (khouf) dan harap (roja'). Oleh itu dengan beramal ini kita sebenarnya sedang dalam keadaan berharap untuk memperoleh redha Allah dan syurga Nya. Banyakkan berdoa dan berdoa. Semoga kita semua dikurniakan taufiq oleh Allah untuk beramal. Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'Alameen~

No comments:

Post a Comment