Friday, April 29, 2011

Tiga Jenis Diri (Nafs) di dalam Al-Quran

Pengunjung lautbiru yang di sayangi kerana Allah, kali ini pemburuCintaiLahi ingin berkongsi sedikit mutiara ilmu tentang nafs yang terdapat dalam diri kita. Marilah sejenak memuhasabahkan diri ditingkatan manakah nafs kita dan marilah bersama kita berusaha mengislahkan diri untuk mencapai nafs mutmainnah. Teruskan menbaca dan jangan lupa berusaha untuk beramal kerana Allah.

1. Diri yang menyuruh kepada keburukan - nafs amarah bis-su'

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Yusuf,12:53)

Ayat di atas mengisahkan tentang Nabi Yusuf yang mengakui bahawa hanya dengan rahmat Allah dirinya telah terselamat dari terjerumus ke dalam maksiat. Fakta penting yang hendak diambil dari ayat ini, antara sifat/jenis diri (nafs) kita ialah ia menyuruh kepada kejahatan. Memang Allah telah menjadikan hati kita bagaikan bekas (Au'iyah), di mana hati yang terbaik menyimpan segala yang baik dan haq, dan amat buruklah hati yang mengandungi kebatilan dan telah rosak/'corrupt'. Allah telah mecipta hawaa (kecenderungan diri terhadap sesuatu) yang boleh menguasai hati, untuk menguji hati-hati supaya dalam menentang hawaa hati-hati ini dapat mencapai kehidupan yang hakiki di syurga kelak.

Nafs (diri) yang menyuruh ke arah keburukan ini telah dijadikan sehaluan dengan hawaa. Allah telah mewajibkan hambanya di dalam kehidupan yang singkat ini, untuk mengingkari nafs-amaarah, melawan haawa, menghalang diri dari menurut segala kemahuan yang tentunya akan membawa kepada kemusnahan diri. Ini supaya diri itu mendapat ganjaran yang berkali-ganda enaknya dari apa yang ditinggalkan di dunia.

Firman Allah di dalam Al-Qur'an:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)."(An-Naazi'aat,79:40-41)

2. Nafsul lawwamah
Aku bersumpah demi hari kiamat, dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri) (Al-Qiyaamah:2) 

Nafsul lawwamah diertikan di dalam tafsir di atas sebagai jiwa yang amat menyesali diri sendiri, juga boleh dimaksudkan sebagai diri yang berbolak-balik, yang sentiasa mengkritik balik segala amalan: "mengapa aku lakukan begitu? Adakah tujuanku untuk manusia atau untuk Allah Yang Esa? Mengapa aku tak lakukan dengan lebih baik?" dan sebagainya. Sememangnya inilah antara sifat seorang mukmin yang sentiasa risau akan kedudukan amalannya.

3. Nafsul Mutmainnah

Dengan indahnya diungkapkan dalam surah Al-Fajr:

Hai jiwa yang tenang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.
Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,
masuklah ke dalam syurga-Ku.(Al-Fajr:27-30)


Inilah diri yang tenang. Tenang dengan segala yang diqadarkan Allah, tiada yang mengubah ketenangannya, yang membuat ia risau, kejayaan tidak membuat hatinya bersorak gembira, kesusahan tidak membuatnya gelisah dan berputus-asa, ini kerana ia yakin bahawa apa yang terjadi telah ditentukan dari awal lagi.

Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Taghaabun,64:11)
 

Rujukan: http://bicaramuslim.com

No comments:

Post a Comment