Tuesday, June 28, 2011

Cabaran Akan Menyuburkan Keimanan

Kehidupan ini sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada cabaran, masalah, dugaan, pancaroba, mehnah dan tribulasi serta perkara-perkara yang sedaerah dengannya. Seperti cinta, cabaran juga merupakan fitrah kepada kehidupan seorang manusia. Tiada manusia yang hidup tanpa cabaran, ujian dan masalah.

Lain orang lain cabarannya, lain umur lain masalahnya, lain jantina lain dugaannya, lain jawatan lain tribulasinya. Semua manusia akan menghadapi masalah, walaupun dia bersembunyi di dalam tanah, walaupun dia lari ke hujung bima sakti, walaupun dia berkubu di sebalik besi. Masalah dengan kehidupan itu fitrah. ALLAH memang akan menurunkan ujian kepada kita.

Sebenarnya, kalau kita kembali kepada ALLAH, ALLAH s.w.t. itu tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Dia juga tidak akan memberikan kita dugaan, cabaran, ujian dengan sengaja tanpa matlamat dan tujuan. Sebagai Mukmin yang yakin dan bersangka baik kepada ALLAH, maka kita perlu mengambil segala cabaran dan ujian dalam kehidupan kita sebagai batu loncatan untuk memperkuatkan iman kita.

ALLAH s.w.t. berfirman dalam surah al-‘Ankabut, ayat 1-3 yang bermaksud:
“Alif lam mim, adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan sahaja untuk berkata, kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH itu mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia jua mengetahui orang yang berdusta.”

Ya... kalau kita lihat apa yang ALLAH firmankan itu, segala mehnah dan tribulasi yang kita hadapi sepanjang kehidupan kita, adalah untuk melihat sama ada kita ini menterjemahkan iman kepada-Nya atau tidak. ALLAH ingin melihat sama ada kita ini benar beriman kepda-Nya atau tidak kerana orang yang beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benar keimanan, akan berdiri teguh menongkah kehidupan dengan cara yang diredhai ALLAH s.w.t.

Ketika berhadapan dengan segala cabaran, jika kita memilih untuk berputus asa, mengalah, atau memilih untuk menyelesaikannya dengan cara yang salah, sebenarnya kita telah menentang hakikat keimanan kita, yakni tunduk dan patuh beribadah kepada ALLAH.

Sebenarnya banyak manusia yang cuba lari daripada cabaran, dugaan , ujian dan sebagainya. Ada juga yang memilih jalan mudah dengan menamatkan nyawa. Semua ini menunjukkan taraf iman seseorang manusia. Ujian itu hadir untuk melihat sama ada kita benar dengan iman kita atau tidak.

Justeru, kenapa perlu takut dengan cabaran? Hidup memang akan ada cabaran. Malah sebenarnya cabaran itu akan menunggu kita. Jika kita tidak suka pun, cabaran tetap akan datang mengiringi kehidupan kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bertenang dan positif dengan cabaran.

Percaya dan yakin kepada ALLAH s.w.t. itu perlu dibina sebab dalam ujian itu terselit hikmah-Nya. Apabila kita percaya ALLAH, ALLAH akan membantu kita untuk melalui ujian itu. Hal ini demikian kerana tujuan ujian adalah untuk melihat sama ada iman kita kepada ALLAH itu benar atau sekadar kata-kata sahaja.

Kembara Hamba Mencari Cahaya

No comments:

Post a Comment