Monday, April 18, 2011

Route Map Menuju Taqwa

Pembaca yang dihormati, kali ini mari kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kepada Allah.

Secara ringkasnya, ada beberapa jalan menuju ketaqwaan yang dipetik oleh penulis dari majalah solusi.

1) Menuntut ilmu

"Sesiapa yang dikehendaki kebaikan baginya akan diberikan kefahaman terhadap agama" [Riwayat Ahmad]

2) Beramal dengan ilmu

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” {at-Taubah:105}

3) Bermujahdah dan istiqamah 

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."{al-Ankabut:69}

"Sebaik amalan adalah berterusan walaupun sedikit"[Riwayat Muslim] 

4) Berdoa dan bertawakkal

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."{AlFurqan: 74}


Doa yang di amalkan oleh Rasulullah:
"Ya Allah, kurniakan jiwaku taqwanya. Bersihkan jiwaku. Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan jiwa. Engkaulah pelindungnya dan penguasanya"[Riwayat Muslim]

5) Bertaubat dan melakukan kebaikan

"Bertaqwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada dan susulilah keburukan itu dengan kebaikan, nescaya kebaikan akan menghapuskan keburukan itu. Dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik" [Riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan al-Darimi]

6) Tidak berlebi-lebihan dengan yang halal

"Seorang hamba tidak dapat mencapai darjat taqwa(muttaqin) sehingga meninggalkan apa yang tidak berdosa semata-mata kerana khuatir terjerumus dalam dosa."[Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu majah]

Sumber: Ringkasan dari solusi ISU #27:m/s 22

Punca Pelajar Tidak Cemerlang

Mari sama-sama kita lihat, apa punca ketidakcemerlangan seseorang terutama sekali para pelajar.
Punca-punca ini telah diringkaskan dari majalah solusi yang ditulis oleh Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah.

1. Tiada Matlamat

 "Belajar tanpa matlamat ibarat pemburu yang menembak ke udara"

2. Niat Tidak Jelas

"Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dengan mengharap keredhaan Allah, tidaklah ia mempelajarinya melainkan utuk memperoleh harta dunia, dia tidak akn mendapat harumnya bau syurga di akhirat." [Riwayat Abu Daud, sanad Hasan]

3. Tidak Minat Kepada Subjek, Kelas atau Aktiviti Belajar

4. Mengantuk

5. Tidak Faham Apa Yang Diajar

6. Pelupa

Kaedah Meningkatkan Daya Ingatan:
-Pemahaman yang jelas.
-Hafaz AlQuran
-Rekodkan pelajaran


7. Belajar sambil dengar muzik/lagu

8. Rajin Tetapi Tidak Konsisten

9. Tiada Jadual Waktu yang sistematik


Sumber: Ringkasan dari Solusi ISU # 26 : m/s 47

Sunday, April 17, 2011

Berhati-hati Debu Berterbangan Dalam Kerja

Artikel ilmiah ini dipetik dari www.haluan.org.my

إحْذَرُوْا هَبَآءً مَّنْثُورًا فِى العمل

(Berhati-hati Debu Berterbangan Dalam Kerja)

Tanggungjawab Kepimpinan

Rasulullah saw bersabda:
مَامِنْ أمِيْرٍ يَلِى امْرَ الْمُسْلِمِيْنَ ثُمَّ لاَ يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إلاَّ لَمْ يَدْ خُلْ مََعَهُمْ الجَنَّةَ
Siapapun para pemimpin yang mengurus urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak berusaha keras untuk kemaslahatan mereka dan tidak pula menasihati mereka, maka ia tidak akan masuk syurga bersama mereka. (Riwayat Muslim.)

Hakikat هَبَآءً مَّنْثُورًا

Allah swt berfirman dalam al-Quraanul Karim, surah al-Furqan ayat 23:

"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan."

As-Syahid Syed Qutb dalam tafsir Fee Zhilali Qur'an menjelaskan;

"Seperti itulah terjadi dalam sekelip mata. Ibarat amalan yang termasuk dalam kategori هَبَآءً مَّنْثُورًا seperti imajinasi yang akan hilang dengan pantas daripada gambaran pemikiran, diterbangkan dan dicerai-beraikan diudara. Sehingga semua yang mereka kerjakan di dunia dalam bentuk amal kebaikan menjadi hilang ditiup angin. Ianya terjadi kerana semua amal kebaikan yang mereka lakukan tidak di atas dasar keimanan – yang mengaitkan hati dengan Allah swt dan menjadikan amal saleh sesuai dengan manhaj yang telah digariskan dan dasar yang dikehendakki. Sehingga tidak ada nilai amal baik seseorang yang tidak berhubung dengan manhaj Allah swt. Tidak ada faedah gerakan yang dilakukan tanpa masuk dalam rangkaian gerakan yang mempunyai tujuan tertentu."

Faktor-faktor Amalan Jatuh ke Dalam هبآءً مَّنْثُورًا 

1. Faktor Keikhlasan

Al Banna menjelaskan 3 perkara boleh merosakkan keikhlasan dan menjadikan amalan sia-sia:
-Beramal dengan tujuan untuk meraih kekayaan
-Beramal dengan tujuan untuk mendapat populariti, kedudukan atau gelaran
-Beramal dengan tujuan untuk mencapai kemajuan dan mengelakkan daripada kemunduran


Dr Majdi Al-Hilali, di dalam bukunya Menjadi Hamba Rabbani berkata; "Hamba Allah dan faktor kemenangan ialah dengan memurnikan niat hanya kepada Allah. Ia tidak melakukan perbuatan apa pun kecuali ia telah yakin akan keikhlasan niatnya kerana Allah. Ia tidak melakukan sesuatu untuk mendapatkan kehormatan di sisi manusia atau kerana malu kepada mereka atau supaya dikatakan seorang yang berani atau kerana adat dan kebiasaan."

2. Tergelincung Dari Matlamat

Ustaz Mustaffa Masyhur menjelaskan penyelewengan dari matlamat adalah di antara yang paling merbahaya sekali. Ia mesti dikawal seketat-ketatnya. Matlamat yang kita tujui dalam perjalanan kita ialah Allah swt. Dimaksudkan dengan penyelewengan dari matlamat ialah menuju kepada selain dari Allah atau sekurang-kurangnya menyengutukan Allah dengan tujuan-tujuan atau kehendak-kehendak keduniaan, atau keinginan rakus individu. Sebarang 'amal tidak diterima kecuali yang ikhlas kepada Allah. Bersih dari sebarang cemaran adalah perkara pokok kepada perjalanan dakwah.

3. Nafsu Menguasai

Dr Majdi Al-Hilali, melalui buku Menjadi Muslim Sejati seterusnya berkata, "Manusia tidak mempunyai kekuatan melawan nafsunya. Nafsu menjadi sangat disayangi dan apa yang diajaknya juga menjadi sesuatu yang dicintai. Lalu bagaimana kita harus melawannya sedangkan kita berada di antara tawanannya, bagaimana kita dapat mengalahkannya sedangkan kita lebih lemah apabila berada di hadapannya? Allah tidak meminta dari kita selain pengakuan bahawa kita tidak mempunyai kekuatan terhadap nafsu kita, dan jika dibiarkan menghadapinya, maka kita akan menjadi tawanan dan hamba nafsu diri kita sendiri. Lalu apa jalan keluarnya? Apakah pintu telah tertutup dan perang telah berakhir? Atau ada apa sebenarnya?

Ketika dipenjarakan, Ibnu Taimiyah tidak memperlihatkan kesedihan, sebaliknya bila ditanya ia berkata:
اَلْمَحْبُوْثُ مَنْ حُبِسَ قَلْبُهُ عَنْ رَبِّهِ وَالْمَأْسُوْرُ مَنْ أسَرَهُ هَوَاهُ

"Orang yang dipenjara ialah orang yang dihalangi hatinya daripada TuhanNya, sedangkan orang yang ditawan ialah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya."

Amalan yang didorong oleh hawa nafsu walau pun zahirnya selaras dengan kehendak manhaj Allah swt akan menjadi
هبآءً مَّنْثُورًا

4. Syirik Khafi

Mengikut Dr As-Sayyid Muhammad Nuh melalui bukunya Pesan-pesan Nabi (Syarah Hadis Dalam Perspektif Dakwah dan Tarbiyah), syirik khafi ialah menjadikan amalan (gerak kerja), setelah niatnya ikhlas kerana Allah swt sebagai wasilah untuk mendapat habuan dunia. Syirik jenis ini dalam terminologi fiqh termasuk dalam syirik asyghar (kecil).

Di antara bentuk syirik seperti ini ialah:
Seseorang yang aktif dalam melaksanakan khidmat, ia mengerjakan dengan ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla, tetapi jika kerjanya dilihat oleh manusia ia sangat merasa senang dan bahagia bukan kepalang. Kadang-kadang ia cuba memancing orang lain supaya memberi perhatian kepada kerja dan aktivitinya dengan cara memperlihatkan kesibukan dan keletihan.
Seseorang melaksanakan aktiviti ikhlas kerana Allah, tidak mahu dilihat oleh manusia lain dan merasa tidak selesa jika ada orang mengetahui kerjanya. Tetapi dia mengharap penghargaan, penghormatan, sanjungan dan keutamaan kepada dirinya. Jika tidak diberi jiwanya akan memprotes. Ia seolah-olah menuntut semuanya itu kerana aktiviti dan kerja yang tadi telah dilakukannya dengan ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah Azza wa Jalla. Saidina Ali bin Abi Talib r.a berkata, "Pada hari Kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman kepada para qari, 'Bukankah harga dimurah bagi kamu (dalam jual beli)? Bukankah orang lain mendahulukan salam kepada kamu? Bukankah keperluan-keperluan kamu dipenuhi?'

Sabda Rasulullah saw:

الشِرْكُ فِيْكُم أخْفَى مِنْ دَبِيْبِ النَّمْلِ

Syirik pada kamu lebih tersembunyi dibandingkan dengan semut yang merayap. (Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah saw lagi:

إنَّ أخْوَفَ مَا أخَافُ عَلَيْكُمْ الشِرْكُ الأصْغَرُ

Sesungguhnya syirik yang paling aku takutkan kepada kamu ialah syirik kecil. (Riwayat Imam Ahmad)

Juga sabda Rasulullah saw:

إنَّ الْيَسِيْرَ مِنَ الرِّيَاءِ شِرْكٌ

Sedikit riya' itu adalah syirik. (Riwayat Ibnu Majah)

5. Kemasyhuran

Seorang inginkan kemasyhuran sentiasa berusaha agar orang lain merasai kehadirannya. Jika ia duduk dengan orang ramai ia memperlihatkan kelebihan-kelebihannya supaya pandangan orang lain tertumpu kepadanya. Di antara keinginan nafsu yang tinggi ialah merasa tinggi dan mempunyai kelebihan. Ketinggian apa yang melebihi daripada kekaguman manusia terhadapnya dan memujinya?

Diriwayatkan pada suatu hari Saidina Umar r.a. masuk masjid, kemudian dia melihat Muadz bin Jabal sedang menangis di pusara Rasulullah saw. Umar berkata: "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Mu'adz berkata "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya riya' yang sedikit termasuk syirik dan sesungguhnya Allah mencintai orang bertaqwa dan tersembunyi (tidak disedari) apabila mereka tidak hadir dan apabila mereka hadir orang tidak tahu, hati mereka seperti obor hidayah yang terhindar dari segala kegelapan."

'Urwah bin Zubair r.a. telah berkata, "Aku melihat Umar bin Khattab r.a. sedang memikul bekas berisi air di atas belakangnya, lalu aku berkata, "Wahai Amirul Mukminin, anda tidak seharusnya melakukan perkara itu. Ia berkata, "Ketika utusan datang, kemudian mereka mendengar dan mentaatiku, kesombongan memasukki jiwaku, maka aku ingin merobohkannya"

6. Pujian

Pujian adalah fatamorgana yang dihajatkan oleh nafsu. Nabi saw memberi peringatan kepada seorang sahabat ketika ia mendengar pujian yang diberikan kepada sahabat yang lain dengan mengatakan:

وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقُ صَاحِبَكَ

Celakalah engkau, engkau telah memotong leher sahabatmu. (Muttafaq 'alahi)

At-Tsauri berkata:
فَاِنْ لَمْ تَكُنْ مُعْجِبًا بِنَفْسِكَ فَإِيَّاكَ اَنْ تُحِبَّ مَحْمَدَةَ النَّاسِ وَمَحْمَدَتُهُمْ اَنْ تُحِبَّ اَنْ يُكَرِّمُوْكَ بِعَمَلِكَ، وَيَرَوْا لَكَ بِهِ شَرَفًا وَمَنْزِلَةً فِى صُدُوْرِهِمْ

Apabila kamu sudah tidak 'ujub pada diri, kamu juga mesti menjauhi sifat 'suka dipuji'. Bukti bahawa kamu suka pujian orang adalah bahawa kamu ingin agar mereka menghormati kamu kerana sesuatu amal yang kamu lakukan dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan kamu di hadapan mereka.

Pujian ditujukan kepada kerja yang kita lakukan atau ucapan yang telah kita sampaikan. Orang memuji mempunyai tujuan tertentu, sedangkan kita sendiri mengetahui hakikat sebenarnya apa yang ada pada diri kita, tetapi kita lupa atau terpedaya. Fudhail bin 'Iyadh mengemukakan parameter supaya kita dapat mengukur dan mengetahui hakikat diri sendiri.
اْنَّ مِنْ عَلاَمَةِ الْمُنَافِقِ اَنْ يُحِبَّ الْمَدْحَ بِمَا لَيْسَ فِيْهِ، وَيَكْرَهَ الذَّمِّ بِمَا فِيْهِ، وَيَبْغَضَ مَنْ يَبْصُرُهُ بِعُيُوْبِهِ

Sesungguhnya di antara tanda-tanda orang munafik, adalah bahawa ingin mendapat pujian dengan perkara yang tidak ada padanya, sedangkan ia membenci terhadap celaan yang ada pada dirinya, dia marah kepada orang yang memandang berbagai kekurangan yang ada pada dirinya.

Begitulah hebatnya peperangan dan tipudaya syaitan untuk menjadikan amal dan kerja yang baik kita lakukan; tenaga, masa, wang ringgit kita korbankan, kesihatan yang kita pertaruhkan agar semuanya itu menjadi هبآءً مَّنْثُورًا

7. Kedudukan dan Kepimpinan

Jiwa manusia sangat mencintainya. Ia menuruti hawa nafsu dan hatinya yang sangat mencintai imarah (pemerintah). Rasulullah saw melarang kita daripada menuntut dan bercita-cita terhadapnya. Maka barangsiapa memintanya, bermakna ia meminta dunia melaluinya. Dalam sebuah hadis dinyatakan:
إنَّكُمْ سَتَحْرِصُوْنَ عَلَى الْلإمَارَةِ وَسَتَكُوْنُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Kamu akan sangat bercita-cita untuk kepimpinan dan kamu menyesal pada hari Kiamat." (HR Bukhari)

Di antara indikator hubbu riyasah telah menyelinap masuk dalam jiwa seseorang ialah ketika ia menerima tanggungjawab kepimpinan, kita akan melihat wajahnya sangat gembira dan ceria. Sebaliknya jika ditarik jawatan itu daripadanya kelihatan ia sangat sedih, dukacita dan mengelabah.

8. Riya’ dan Ujub

'Ujub ialah merasa kagum dengan diri sendiri. Seorang yang 'ujub terdedah kepada dua keadaan: tergelincir dan tersungkur ke bumi. Imam Syafi'e menjelaskan:

Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas daripada harga yang sesuai untuk dirinya, maka Allah akan mengembalikannya kepada harga yang sesuai.

'Ujub terjadi apabila seseorang memperkecilkan dosa dan kesalahannya serta melupakan sebahagian besar daripadanya. Sikap meremeh dan 'menyerang' orang lain adalah salah satu aspek 'ujub yang paling menonjol daripada sifat 'ujub. Sufyan at-Tsauri memberi peringatan tentang fenomena 'ujub dengan mengatakan:

Sifat 'ujub adalah kekaguman pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari saudaramu, pada hal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali ia lebih wara' darimu terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah, dan lebih bersih amalannya.

Al-Fudhail bin 'Iyadh lebih fokus kepada sifat 'ujub 'merasa amalnya lebih dan melupakan dosanya' dengan mengatakan:
إذْظَفَرَ اِبْلِيْسُ مِنْ اِبْنِ آدَمَ بِاِحْدَىْ ثَلاَثٍ خِصَالٍ قَالَ: لاَأطْلُبُ غَيْرَهَا: إعْجَابُهُ بِنَفءسِهِ، وَاسْتِكْثَارُهُ عَمَلَهُ، وَتِسْيَانُهُ ذُنُوْبَهُ

Apabila iblis telah berjaya melakukan tiga perkara pada diri anak Adam, ia akan berkata: 'Aku tidak akan menuntutnya dengan perkara lain lagi'. Tiga perkara tersebut ialah dia ujub pada dirinya sendiri, dia merasa amalnya sudah banyak, dan dia melupakan dosa-dosanya.

'Ujub adalah punca kepada segala bencana dan fitnah bagi seorang hamba. Apabila seseorang itu dikuasai oleh 'ujub dengan mudah ia akan melakukan dosa-dosa lain yang disukai iblis sebagaimana diungkapkan oleh nabi Isa a.s:

Betapa banyak pelita yang dipadamkan oleh angin, dan betapa banyak ibadah yang dirosakkan oleh sifat 'ujub.

Amal soleh adalah sinar dan cahaya. Ia akan berubah menjadi mendung apabila ditiup oleh angin 'ujub walau pun hanya dengan sekali hembusan sahaja boleh menjerumuskan amalan seseorang kepada هبآءً مَّنْثُورًا.

Sumber: http://www.haluan.org.my/v3/index.php/berhati-hati-debu-berterbangan-dalam-kerja.html

"Ya Allah, terimalah amal ibadah kami. Suburkanlah sifat ikhlas dalam diri kami."

Saturday, April 16, 2011

AMALAN SUNNAH SEBELUM TIDUR

بسم الله الرحمن الرحيم

Terdapat beberapa amalan yang dilakukan dan dianjurkan daripada sunnah Nabi Muhammad SAW untuk dipraktikkan sebelum seseorang itu melelapkan matanya pada waktu malam. Sayugia bagi setiap ummat yang kasih dan cinta kepada sunnah Baginda SAW tidak meninggalkan amalan-amalan berikut ini. Amalan-amalan tersebut ialah:

(1)Membaca Surah as-Sajdah Dan al-Mulk

Ini berdasarkan perkhabaran dari Jabir RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari (didalam kitabnya al-Adab al-Mufrad), at-Tirmizi, an-Nasai (didalam kitabnya ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ حَتىَّ يَقْرَأَ ( الم تنزيل ) وَ( تبارك الذي بيده الملك

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW tidak tidur sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.

Dalam riwayat an-Nasai dan Ibnu as-Sunni terdapat tambahan “setiap malam”:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ كُلَّ لَيْلَةٍ حَتىَّ يَقْرَأَ ……………..

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW tidak tidur setiap malam sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.

(2)Membaca Dua Ayat Terakhir Surah al-Baqarah (Ayat 285 dan 286)

Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah, ad-Darimi, Ibnu Hibban:

الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ مَنْ قَرَأَ بِهِمَا فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: Dua ayat dari akhir Surah al-Baqarah, barangsiapa yang membacanya pada waktu malam nescaya mencukupi baginya.

Keterangan: Maksud “mencukupi baginya” ialah terpelihara dari sebarang keburukan dan kejahatan pada sepanjang malam tersebut.

(3)Solat Witir

Berkata Abu Hurairah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

أَوْصَانِي خَلِيْلِي (ص) بِثَلاَثٍ: بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَياَّمٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَنْ أُوْتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: Kekasihku (Nabi Muhammad) SAW telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara:
1) Berpuasa tiga hari pada setiap bulan (tanggal 13, 14 dan 15)
2) Mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha
3) Bahawa aku mengerjakan Solat Witir sebelum tidur

Mengerjakan Solat Witir sebelum tidur adalah “pengikat” sebagaimana diistilahkan oleh Nabi Muhammad SAW didalam hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad:

الَّذِي لاَ يَنَامُ حَتىَّ يُوْتِرَ حَازِمٌ

Maksudnya: Orang yang tidak tidur sehingga mengerjakan Solat Witir terlebih dahulu adalah pengikat.

Keterangan: Maksud “pengikat” didalam hadith tersebut ialah pengikat antara seseorang dengan solat malam. Dengan erti kata lain sekiranya ia tidak terbangun untuk solat malam pada malam tersebut maka Solat Witir yang telah dikerjakan sebelum tidur itu menjadikannya dicatat sebagai orang yang telah mendirikan malam. Dengan itu tidak luput daripadanya solat malam pada malam tersebut.

Walaupun begitu bagi sesiapa yang terasa kuat dan mampu bangun diakhir malam maka mengerjakan Solat Witir ketika itu adalah lebih afdhal/utama. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُوْمَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوْتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: Barangsiapa yang takut tidak dapat bangun pada akhir malam maka berwitirlah diawal malam (sebelum tidur), dan barangsiapa yang ingin bangun pada akhir malam maka berwitirlah diakhir malam kerana sesungguhnya solat diakhir malam disaksikan (oleh malaikat), dan itu lebih afdhal.

Perhatikan hadith berikut ini sebagai perbandingan, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, al-Hakim, al-Baihaqi dari Abu Qatadah RA katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ (ص) قَالَ ِلأَبِي بَكْرٍ: مَتَى تُوْتِرُ؟ قَالَ: أُوْتِرُ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ , فَقَالَ لِعُمَرَ: مَتَى تُوْتِرُ؟ قَالَ: أَنَامُ ثُمَّ أُوْتِرُ. قَالَ: فَقَالَ ِلأَبِي بَكْرٍ: أَخَذْتَ بِالْحَزْمِ أَوْ بِالْوَثِيْقَةِ وَقَالَ لِعُمَرَ: أَخَذْتَ بِالْقُوَّةِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bertanya kepada Abu Bakar: “Bilakah kamu mengerjakan Solat Witir”, jawab Abu Bakar: “Aku mengerjakan Solat Witir sebelum aku tidur”. Kemudian Nabi SAW bertanya kepada Umar: “Bilakah kamu mengerjakan Solat Witir”, jawab Umar: “Aku tidur kemudian aku bangun mengerjakan Solat Witir”. Sabda Nabi SAW kepada Abu Bakar: “Kamu telah mengambil ikatan atau simpulan” dan bersabda kepada Umar: “Kamu telah mengambil kekuatan (untuk bangun malam)”.

Timbul satu persoalan bagi sesiapa yang mengerjakan Solat Witir sebelum tidur apakah perlu melakukannya sekali lagi apabila bangun pada separuh/akhir malam setelah selesai mengerjakan Solat Tahajjud. Jawapannya ialah tidak perlu, memadai dengan Solat Witir yang telah dikerjakan sebelum tidur itu kerana Nabi Muhammad SAW menegah dikerjakan dua kali Solat Witir dalam satu malam berdasarkan hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Khuzaimah:

لاَ وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: Tidak ada dua witir dalam satu malam.

Tidak timbul soal “membatalkan” Solat Witir yang telah dilakukan sebelum tidur dengan mengenapkan solat tersebut yaitu dikerjakan solat satu rakaat setelah bangun pada separuh/akhir malam untuk Solat Tahajjud kemudian mengerjakan Solat Witir sekali lagi setelah selesai Solat Tahajjud.

Tetap kekal atas Solat Witir yang dikerjakan sebelum tidur dan tidak perlu “membatalkannya” setelah bangun pada separuh/akhir malam merupakan pendapat tiga imam mazhab iatu Imam Malik, As-Syafie dan Ahmad sebagaimana yang disebut oleh Imam at-Tirmizi didalam Sunannya dibawah “Bab-bab Witir: Bab Yang Datang Bahawa Tiada Dua Witir Dalam Satu Malam”.

Jika diteliti, pada hakikatnya sesiapa yang beramal dengan pendapat “membatalkan” Solat Witir sebenarnya telah mengerjakan tiga kali witir dalam satu malam:

1) Sebelum tidur,
2) Selepas bangun dari tidur untuk mengenapkannya, dan
3) Selepas selesai dari mengerjakan Solat Tahajjud.

Oleh sebab itu Imam al-Mubaa-rakpuu-ri menyebut didalam kitabnya “Tuhfah al-Ahwazi” dalam syarah/penjelasannya kepada hadith “Tidak Ada Dua Witir Dalam Satu Malam” diatas menyatakan bahawa beliau tidak pernah menemui satu hadith marfu’ (bersumber daripada Nabi Muhammad SAW) yang soheh menunjukkan atas thabitnya “membatalkan” Solat Witir.

Kemudian mendatangi tempat tidur.

(4)Membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Naa-s

Melalui perkhabaran Aishah RA yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah.


أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ (ص) كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيْهِمَا فَقَرَأَ فِيْهِمَا (قل هو الله أحد) وَ (قل أعوذ برب الفلق) وَ (قل أعوذ برب الناس) ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk tidur setiap malam Baginda menghimpun dua tapak tangannya kemudian menghembus pada kedua-duanya, maka dibaca pada kedua-dua tapak tangan tersebut Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naa-s. Kemudian Baginda menyapu dengan kedua-dua tapak tangan tersebut apa yang dapat disapu dari badannya bermula dari atas kepala, muka dan depan dari badannya. Baginda melakukan demikian tiga kali (yakni hembus pada dua tapak tangan, baca tiga surah tersebut dan sapu pada badan).

(5)Membaca Ayat al-Kursi (al-Baqarah: 255)

Berdasarkan kisah Abu Hurairah RA yang dibenarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dimana syaitan mengajarnya keutamaan Ayat al-Kursi yang dibaca sebelum tidur:


إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ اْلكُرْسِيِّ , لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللهِ حَافِظٌ , وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ, فَقَالَ النَّبِيُّ (ص): صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوْبٌ , ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: Apabila kamu masuk tidur maka bacalah Ayat al-Kursi, akan sentiasa bersama kamu pemeliharaan dari Allah dan syaitan tidak akan menghampiri kamu hingga ke subuh. Maka bersabda Nabi Muhammad SAW: Apa yang ia beritahu kamu adalah benar dan dia adalah pembohong, itu adalah syaitan.

Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri

Daftar Rujukan:

1) Kitab-kitab hadith yang disebut periwatannya diatas.
2) al-Azkar, Yahya bin Syaraf an-Nawawi.
3) Fiqh as-Sunnah, as-Sayyid Saa-biq.

Sumber: http://assabiel.com/?p=579

Petua Untuk Mudah Qiamullail

Antara ikhtiar yang boleh kita sama-sama amalkan untuk istiqamah berqiamullail:

1- Ikhlas kepada ALLAH dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredhaanNYA, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya dari pengetahuan orang ramai. Ini bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2- Hendaklah melakukan solat malam dengan perasaan dalaman bahawa ALLAH swt menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3- Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun malam berdasarkan pengajian & perbincangan.

4- Memerhati kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah & iltizam melakukan qiamullail khususnya para soliheen di kalangan sahabat & ulama'.

5- Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw.

6- Tidur dalam keadaan berwudhu' seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah saw: "Apabila kamu hendak masuk tidur, berwudhu'lah seperti untuk menunaikan solat."-Hadith riwayat Imam Bukhari & Muslim daripada al-Barra b. Azib.

7- Bersegeralah masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama selepas solat Isya' seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

8- Berzikir dengan wirid-wirid yang ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, dan baca doa tidur. Kerana ia menjadi benteng diri dari kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun.

9- Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari (Qailullah) iaitu sebelum masuk waktu Zuhur atau selepasnya, sekadar dalam setengah jam.

10- Elakkan dari banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11- Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12- Menjauhi dosa dan maksiat, kerana ia dikenal pasti sebagai penghalang pertama & utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13- Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Sumber:
http://nasihatmotivasi.com
http://www.nasihatmotivasi.com/search/label/qiamullail