Saturday, May 21, 2011

Salah faham pemakaian tudung

Pada hari ini, dapat kita perhatikan ramai muslimah mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung. Kita dapat lihat bagaimana seorang muslimah sebelumnya tidak bertudung, kemudian mula mengenakan tudung. Alhamdulillah, Rahimahunnallah. Walau bagaimanapun, sayangnya kebanyakan dari mereka masih belum mengenakan tudung yang benar-benar sesuai dengan kehendak syariat. Kebanyakan dari mereka memakai tudung mengikut trend atau hanya ingin dilihat lebih islamik. Mereka lebih mementingkan keanggunan, kecantikan tanpa mempedulikan apakah benar tudung mereka betul atau tidak.

Kebanyakan tudung yang dijual hari ini tidak cukup untuk menutup aurat secara sempurna melainkan meninggalkan celah-celah yang memperlihatkan aurat. Menurut jumhur ulama, aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan. Sebagaimana ulama ahli tafsir Imam Al-Qurthubi berkata, pengecualian itu adalah pada wajah dan telapak tangan. Yang menunjukkan hal itu adalah apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah:
Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah sedangkan ia memakai pakaian tipis. Maka Rasulullah berpaling darinya dan berkata kepadanya : “Wahai Asma ! Sesungguhnya jika seorang wanita itu telah mencapai masa haid, tidak baik jika ada bagian tubuhnya yang terlihat, kecuali ini.” Kemudian beliau menunjuk wajah dan telapak tangannya. Allah Pemberi Taufik dan tidak ada Rabb selain-Nya”. Maka, selain muka dan telapak tangan, tidak boleh terlihat walaupun sedikit.


Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam melarang para wanita muslimah berpakaian ketat. Dan batasan ketat adalah tergambarnya bentuk salah satu anggota tubuh yang termasuk aurat. Usamah bin Zaid pernah berkata :
Rasulullah pernah memberiku baju Quthbiyah yang tebal yang merupakan baju yang dihadiahkan oleh Dihyah Al-Kalbi kepada beliau. Baju itu pun aku pakaikan pada isteriku. Nabi bertanya kepadaku : “Mengapa kamu tidak mengenakan baju Quthbiyah ?” Aku menjawab : Aku pakaikan baju itu pada istriku. Nabi lalu bersabda : “Perintahkan ia agar mengenakan baju dalam di balik Quthbiyah itu, karena saya khawatir baju itu masih bisa menggambarkan bentuk tulangnya.” (Ad-Dhiya Al-Maqdisi dalam Al-Hadits Al-Mukhtarah I/441; Ahmad dan Al-Baihaqi dengan sanad Hasan).

Sungguh menghairankan sesetengah muslimah yang sudah menyedari akan wajibnya menutup aurat, namun di dalam hatinya masih ada keinginan untuk menonjolkan bahagian-bahagian tubuhnya agar terlihat indah di mata laki-laki. Waliyyadzubillah. Sehingga mereka pun memakai tudung secara ala-kadar sahaja. Kesilapan muslimah yang menggayakan tudung pada hari ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian.

1.Antara tudung yang popular dipakai masa kini adalah tudung lilit atau tudung pendek. Hampir kebanyakan muslimah menggayakan tudung jenis di mana banyak dipengaruhi oleh pemakaian artis-artis tempatan. Rata-rata daripada mereka akan mengatakan tudung jenis ini ringkas, tidak rimas dan senang dipakai. Namun tidak syak lagi pemakaian jenis ini mendedahkan dada. Padahal telah jelas dalil menyebutkan:

“Dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka…” (QS. An Nur : 31)




2. Antara kebiasaan yang selalu dilakukan muslimah pada hari ini adalah
memasukkan tudung ke dalam baju atau memakai jaket atau coat diluarnya. Ini menyebabkan hilangnya fungsi tudung untuk menutupi bentuk tubuh bahagian atas. Memang terdapat pelbagai alasan diberi untuk mengenakan tudung jenis ini. Pertama adalah untuk keperluan keselamatan, misalnya ingin memasuki makmal, tudung perlu dimasuki ke dalam coat bagi mengelak dari disambar api, bahan kimia dan sebagainya. Penyelesaian untuk permasalahan ini, pakailah coat yang besar dan longgar sehingga tidak menampakkan langsung bentuk tubuh bahagian atas. Namun, kalau kita lihat situasi hari ini, sukar untuk melihat mereka yang memakai coat yang disebutkan itu. Kedua pula, adalah keperluan akademik. Mereka menggayakan tudung jenis ini dengan alasan kekemasan seperti yang dapat kita lihat pada badan-badan uniform seperti Pasukan Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah dan lain-lain lagi. Sukar untuk berkompromi dengan alasan ini kerana tidak bolehkah mengemaskan sahaja tudung yang dilabuh itu? Mengapakah mereka tidak boleh mencotohi Pasukan Puteri Islam yang tampak molek dengan tudung tidak dimasukkan ke dalam baju tetapi masih boleh berfungsi sebagai satu pasukan? Ini adalah persoalan yang perlu diperhalusi lagi.

Kesimpulannya, dapat dinyatakan disini, jumhur ulama berpendapat bahawa panjang minima bagi suatu tudung adalah sampai menutupi dada dengan sempurna. Namun ini bukan bererti sekadar melepasi sepanjang itu. Kerana seringkali diterpa angin, maka bahagian dada akan tersingkap. Maka, tidak ada pilihan lain bagi muslimah kecuali mengenakan tudung yang lebih panjang dari itu. Bahkan sangat baik bila tudung menjulur panjang sampai ke punggung. Dan inilah pendapat sebagian ulama dengan mengambil zahir dari perintah Allah pada surat Al-Ahzab ayat 59:

“Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mumin : “Hendaklah mereka mengulurkann jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” (QS. Al Ahzab : 59)


Walau demikian kami bersyukur kepada Allah, bahawa sekarang mulai terlihat kesedaran dikalangan muslimah di negara kita untuk mulai mengenakan tudung. Walaupun sebahagian besar masih belum memenuhi kriteria syar’i, namun kami berharap saudari-saudari kita muslimah sentiasa berproses dan memperbaiki diri dalam pemakain tudung hingga sesuai dengan apa yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kita berharap semoga kaum muslimah kita yang dimuliakan oleh Allah, sentiasa memperbaiki diri dan menjaga kehormatan dirinya dengan taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Beragama dengan kaedah yang benar sesuai Al Qur’an dan As Sunnah, bukan hanya mengikuti perasaan, atau mengikuti apa yang dianggap baik oleh kebanyakan orang. Wallahu ta’ala a’lam.

Sumber: http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/07/salah-faham-pemakaian-tudung.html

Monday, May 9, 2011

Setiap Bait Kata Seorang Ibu Adalah Doa

Anak derhaka tidak terbilang
Kawan dibakti ibu dibuang
Ilmu agama beransur hilang
Para ulama kian berkurang
Ilmu dunia semakin cemerlang
Menjadi tumpuan smua orang

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila zaman telah dekat, mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak, tidak ada rasa hormat kepada orang yang lebih tua dan tidak ada rasa kasih sayang kepada anak yang lebih kecil, anak-anak zina semakin ramai sehingga laki-laki menyentap perempuan di jalan. Mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala.” (Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim)
Refleksi terhadap realiti kehidupan ini, seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak. Tetapi, di sebalik pengorbanan itu belum tentu sepuluh orang anak mampu menjaga dan berbakti kepada seorang wanita yang bernama ibu. Membesarkan anak adalah mudah tetapi hendak membentuk peribadi seorang anak memerlukan pengorbanan yand sangat tinggi.

“Dan Kami wasiatkan kepada manusia, terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali.” (Surah al-Lukman ayat 14).

Meyingkap kembali kisah si Tanggang, arahan oleh Dato’Jamil Sulong (1961), dilakonkan oleh Dato’ Jins Samsuddin sebagai Tanggang dan Nurmadiah sebagai Dermai, ibu kepada Tanggang. Kisah popular ini memaparkan bagaimana pengorbanan seorang ibu dalam mendidik seorang anak dari kecil sehingga dewasa. Namun, segala jerih payah si ibu bukan sahaja telah dilupakan oleh si Tanggang malah dibalas pula dengan tindakan kasar sehingga mengguris perasaan ibunya. Akhirnya, setelah kecewa dengan sikap Tanggang yang tidak mengenal siapa dirinya, doa si ibu dimakbulkan oleh Allah dan riwayat hidup si Tanggang berakhir  dengan gelaran si Tanggang anak derhaka. Kisah-kisah lain yang menyelitkan pengajaran yang sama  ialah seperti Tanah Kubur, Pondok Buruk dan Malin Kundang.

Kisah si Tanggang mungkin sudah lama untuk dibicarakan. Namun begitu, jika dunia zaman kuno boleh berubah menjadi moden, si Tanggang juga tidak mustahil boleh bertukar menjadi si Tanggang moden. Catatan sejarah, 15 Januari 2010, seorang lelaki yang menghidap penyakit buah pinggang ditinggalkan oleh anaknya di  pusat hemodialisis yang terletak di Kangar. Selain itu, bilangan penghuni di Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mencecah peningkatan sebanyak 30% dan kajian daripada  Jabatan Kebajikan Perubatan Sosial telah mencatatkan sebanyak 368 pesakit di Hospital Kuala Lumpur tidak dijemput sehingga Oktober 2009 yang lalu. Ini mengambarkan bahawa terlalu ramai kelahiran gologan si Tanggang moden. 

Cuba kita renung kembali kenapa perkara ini boleh terjadi? 
Apakah punca utama wujudnya golongan seperti ini? 
Dan sekiranya si Tanggang moden ini berleluasa di muka bumi ini, apakah kesannya kepada kehidupan kita dan kehidupan akan datang? 
Siapa golongan yang perlu memainkan perana penting untuk menyelesaikan masalah ini? 

Sudah tentulah salah satu punca utama yang diabaikan oleh rata-rata ibu bapa pada zaman moden in ialah kurangnya didikan agama. Ibu bapa tidak sepatutnya hanya mementingkan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi kecemerlangan dari sudut akhlak dan peribadi diri yang berkualiti juga perlu diserapkan dalam mendidik dan membentuk anak-anak.

Pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kebiadapan seorang anak kepada orang tuanya. Akibat mementingkan kehendak kawan-kawan, perasaan dan kehendak ibu bapa diabaikan. Di mana prioriti kita?Kawan atau ibu bapa? Tambahan pula, redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Sekiranya kawan yang dipilih adalah seorang yang berperibadi mulia, sudah tentu kita dibimbing untuk berbakti kepada ibu bapa.

“Berbaktilah kamu kepada ibu bapa kamu agar anak-anakmu kelak berbakti kepadamu dan peliharalah dirimu daripada penzinaan agar isteri-isteri kamu memelihara dirinya” (Hadith Riwayat Tabrani)

Sikap derhaka kepada orang tua ini memberi kesan negatif bukan sahaja kepada generasi kini malah ia melibatkan generasi akan datang. Merujuk kepada hadith riwayat Tarmizi  di dalam buku empat puluh hadith tentang pristiwa akhir zaman susunan oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (m/s 80), salah satu penyebab turunnya bala dari Allah adalah derhaka kepada ibu bapa. Memang tidak dapat dinafikan terlalu banyak gempa bumi berlaku baru-baru ini. Tanda-tanda ini menunjukkan bahawa semakin hampirnya hari kiamat. Inilah yang dikatakan ibu telah melahirkan tuannya. Pepatah barat;“What you give, you get back” ada benarnya. Akhlak dan peribadi kita ketika usia remaja dapat memberi kesan kepada anak-anak kita. Apa yang kita beri kepada ibu bapa kita sekarang, kita akan dapat kembali daripada anak-anak kita. 

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.
Rasulullah s.a.w. bersabda;“Dua kejahatan yang dibalas oleh Allah di dunia adalah berzina dan derhaka kepada ibu bapa.”(Hadith Riwayat tabrani).
 Jelaslah di sini bahawa, derhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang disegerakan azabnya di dunia. Oleh itu, berhati-hatilah  dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang ibu kerana setiap bait katanya adalah doa.
Daripada Abu Abd Rahman Abdullah bin Mas’ud, “Aku brtanya kpd Nabi s.a.w. amalan manakah paling disukai Allah?” Baginda menjawab, “solat pada waktunya”. “Saya bertanya lagi,kemudian apa?”  Baginda menjawab, “kemudian berbakti kepada orang tua.” “ Saya bertanya lagi,kemudian apa?” Baginda menjawab, “ jihad pd jalan Allah.””


Suruhan berbakti kepada ibu bapa banyak di terangkan di dalam Al Quran. Di antaranya dalam Surah Annisa’(ayat 36), Al-Isra’(ayat 23 hingga 24) dan surah Luqman(ayat 14). Berdasarkan ayat-ayat ini, Allah menyuruh manusia menjaga kebajikan dan hubungan dengan orang tua dan kita dilarang menderhaka kepada mereka  selagi sesuatu yang disuruh oleh ibu bapa tidak bertentangan dengan hukum syara’.

Dalam mencari penyelesaikan kepada krisis si Tanggang moden ini , kedua-dua belah pihak iaitu ibu bapa dan anak-anak  memainkan peranan penting . Menerusi medium teknologi tanpa batasan yang semakin meningkat kemajuannya, ibu bapa perlu menggunakan segala kemudahan teknologi yang sedia ada supaya didikan anak-anak berlaku secara berterusan. Selain itu, insan yang bergelar seorang ibu perlu berhati-hati dalam berbicara. Rasulullah s.a.w. bersabda, “berkatalah baik atau diam”. Dalam hal ini, ibu bapa perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah. 

Kita yang bergelar anak juga perlu berhati-hati dalam bertutur bicara dengan ibu bapa. Penderhakaan kepada orang tua tidak berlaku secara lahiriah atau di hadapan ibu bapa sahaja. Tindakan fizikal lain yang mungkin tidak diketahui oleh ibu bapa kita boleh dikategorikan sebagai menderhaka atau menzalimi ibu bapa secara tidak langsung. Contoh terdekat ialah kehidupan anak-anak sebagai seorang pelajar. Gejala ponteng kelas tanpa sebab dan menunakan duit untuk perkara yang tidak sepatutnya juga merupakan salah satu jenis penderhakaan kepada ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap diri anak-anak itu perlu ada cita-cita untuk menjadi insan yang soleh dan solehah kerana itu adalah impian ibu bapa kita. Hanya tiga amalan yang akan menemani kita ke kubur setelah roh berpisah dari jasad iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh. Wallahu a’lam.


Thursday, May 5, 2011

Ibrah Dari Tiga Haiwan Yang Disebut Dalam Al-Quran


Allah tidak menciptakan suatu makhluk dari yang paling kecil sehingga yang paling besar, dari yang bentuknya tidak sempurna sehinggalah kepada yang paling sempurna, kecuali terselit ilmu disebalik penciptaan itu, tersurat hikmah dan manfaat di dalamnya.

Nyamuk, makhluk kecil yang dikatakan mampu menyebarkan penyakit merbahaya sehingga boleh membunuh manusia diantaranya demam berdarah, malaria dan sebagainya. Namun,pasti ada hikmahnya, pasti ada manfaatnya. Antara hikmahnya, ramai peniaga memperoleh rezeki melalui penjualan ubat pembunuh nyamuk. Dengan sebab nyamuk itu juga, kita telah belajar untuk sentiasa menjaga kebersihan sekaligus mengaplikasikan apa yang Rasulullah ajarkan. Secara tidak langsung, kita menjaga iman kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Lalat pula seekor haiwan yang sinonim dengan kawasan kotor, sentiasa berdamping dengan sampah sarap. Hikmahnya, kerana lalatlah kita telah belajar untuk menyediakan tempat membunag sampah yang tidak terbiar, bahkan Rasulullah pernah mengabadikan lalat tersebut dalam sebuah hadith yang menyuruh kita supaya mencelupkan seluruh bahagian lalat ketika lalat terjatuh ke dalam minuman kita disebabkan salah satu daripada sayapnya merupakan penawar dari penyakit yang dibawanya.

Selain itu, Allah telah mengabadikan beberapa haiwan di dalam Al-Qur'an sebagai gambaran terhadap hikmah dan ilmu dibalik penciptaannya. Kita sebagai manusia, makhluk berakal seharusnya mengambil ibrah dari penciptaan tersebut. Haiwan-haiwan ini sebenarnya menjadi gambaran kepada ragam dan sifat manusia.

Terdapat tiga jenis haiwan yang dinyatakan di dalam Al-Quran secara jelas iaitu:

1. Al 'Ankabut (labah-labah)

Haiwan yang sudah menjadi inspiras di kalangan dunia hollywood ini telah berjaya mendatangkan keuntungan berjuta dollar dan ringgit. Haiwan ini termasuk dalam golongan haiwan yang suka menyendiri. Tidak pernah terlihat suatu komuniti labah-labah yang hidup berkelompok. Malah, mereka biasanya bergerak sendiri-sendiri untuk mencari makan, bahkan kadang-kadang saling bermusuh-musuhan sesama mereka. Sarang di buatnya terlihat kuat, namun hakikatnya mudah hancur. ketika sarangnya di serang, labah-labah ini tidak mampu mempertahankan diri. Labah-labah menggambarkan sifat manusia yang tidak suka berjamaah, merasa tidak memerlukan manusia lain, tidak saling bantu-membantu dan kelihatan tenang namun membahayakan. Golongan manusia ini tidak suka memberi manfaat untuk manusia lain disekitarnya. Sungguh sangat rugi abila kita mengikuti sifat seperti yang digambarkan oleh labah-labah.

2. An Naml (semut)



Haiwan kecil ini merupakan gambaran dari komuniti yang suka bersilaturrahim. Ketika bertemu sentiasa berjabat tangan. Mereka saling bantu-membantu dan memahami makna silaturrahim yang dapat meluaskan rezki, memanjangkan umur, dan mengampuni dosa-dosa. Haiwan sekecil ini mampu mengalahkan gajah yang besarnya beribu kali ukuran tubuhnya. Namun demikian, semut kurang bisa membentuk sebuah sarang yang kokoh, manakala manusia menghancurkan sarang semut, maka perlawanan mereka pun tidak dapat menyelamatkan diri dan komunitinya. Gambaran manusia seperti ini adalah manusia yang suka bekerjasama, bersilaturrahim, namun masih tercerai berai manakala terjadi perbezaan pendapat, sehingga manakala di adu domba oleh musuh-musuhnya dan dengan mudah dapat dihancurkan.

3. An Nahl (lebah)
Haiwan ini pula merupakan gambaran dari indahnya akhlak seseorang. Sifat suka bekerja keras terserlah kerana lebah mampu menjangkau 1/4 bumi hanya untuk mencari sumber madu yang baik. Lebah sangat berfaedah kepada makhluk lain. Sebuah ranting tua tidak mudah patah tatkala bergantungnya sarang lebah di situ. Lebah mengambil madu dari bunga, dan memberi manfaat kepada bunga itu. Gambaran lebah adalah gambaran manusia yang suka memberi manfaat untuk manusia disekelilingnya. Tidak suka merugikan orang lain, bekerjasama dan suka berkongsi kerana seekor lebah akan memberitahukan komunitinya bahawa dia menemukan sumber madu bunga yang baik. Manusia yang memiliki sifat seperti lebah ini tidak akan rugi hidupnya. Disamping itu, sarang lebah sangat kukuh, manakala terjadi serangan terhadap sarangnya, maka berbondong-bondong mereka akan bekerja sama menghancurkan musuhnya. Sarang yang kukuh dan unik ini juga menggambarkan lebah adalah jurutera terbaik ciptaan Allah.

Dari penciptaan yang unik ini
Kekuasaan Allah sangat terserlah
Supaya manusia berfikir sejenak
Supaya manusia mengutip ibrah
Supaya manusia ingat padaNYA

Allah Maha Besar
Allah Maha Bijaksana
Allah Maha Berkuasa
Maha Suci Allah dari segala cacat dan cela

Sunday, May 1, 2011

Hukuman Terhadap Orang Yang Menuduh Zina Tanpa 4 Saksi

Santapan rohani kali ini berkaitan dengan isu semasa di negara kita Malaysia.
Sama-sama kita tingkatkan kefahaman supaya lebih jelas membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Oh rakyat Malaysia, sedih sayu hati ini memikirkan hari-hari mendatang. Pasti sedih Rasulullah s.a.w. ,melihatkan keadaan umat Islam yang hanyut ditelan keseronokan duniawi sehingga hilang rasa takut pada Ilahi.

Hadis Rasulullah SAW:

“Jangan buka aib orang kerana Allah akan membuka aibmu walaupun di dalam rumahmu sendiri”


"Sesungguhnya saya lebih menghargai Malaysia yang selamat biarpun sederhana pembangunannya pada suatu ketika dahulu, berbanding Malaysia kini yang zahirnya gah,tetapi tercabut rasa tenteram dan selamat daripada kehidupan kita semua. Inilah hukuman Allah bagi dunia yang membelakangkanNYA" [dipetik dari buku 'aku terima nikahnya' yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil:m/s 144]

Friday, April 29, 2011

Tiga Jenis Diri (Nafs) di dalam Al-Quran

Pengunjung lautbiru yang di sayangi kerana Allah, kali ini pemburuCintaiLahi ingin berkongsi sedikit mutiara ilmu tentang nafs yang terdapat dalam diri kita. Marilah sejenak memuhasabahkan diri ditingkatan manakah nafs kita dan marilah bersama kita berusaha mengislahkan diri untuk mencapai nafs mutmainnah. Teruskan menbaca dan jangan lupa berusaha untuk beramal kerana Allah.

1. Diri yang menyuruh kepada keburukan - nafs amarah bis-su'

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Yusuf,12:53)

Ayat di atas mengisahkan tentang Nabi Yusuf yang mengakui bahawa hanya dengan rahmat Allah dirinya telah terselamat dari terjerumus ke dalam maksiat. Fakta penting yang hendak diambil dari ayat ini, antara sifat/jenis diri (nafs) kita ialah ia menyuruh kepada kejahatan. Memang Allah telah menjadikan hati kita bagaikan bekas (Au'iyah), di mana hati yang terbaik menyimpan segala yang baik dan haq, dan amat buruklah hati yang mengandungi kebatilan dan telah rosak/'corrupt'. Allah telah mecipta hawaa (kecenderungan diri terhadap sesuatu) yang boleh menguasai hati, untuk menguji hati-hati supaya dalam menentang hawaa hati-hati ini dapat mencapai kehidupan yang hakiki di syurga kelak.

Nafs (diri) yang menyuruh ke arah keburukan ini telah dijadikan sehaluan dengan hawaa. Allah telah mewajibkan hambanya di dalam kehidupan yang singkat ini, untuk mengingkari nafs-amaarah, melawan haawa, menghalang diri dari menurut segala kemahuan yang tentunya akan membawa kepada kemusnahan diri. Ini supaya diri itu mendapat ganjaran yang berkali-ganda enaknya dari apa yang ditinggalkan di dunia.

Firman Allah di dalam Al-Qur'an:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)."(An-Naazi'aat,79:40-41)

2. Nafsul lawwamah
Aku bersumpah demi hari kiamat, dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri) (Al-Qiyaamah:2) 

Nafsul lawwamah diertikan di dalam tafsir di atas sebagai jiwa yang amat menyesali diri sendiri, juga boleh dimaksudkan sebagai diri yang berbolak-balik, yang sentiasa mengkritik balik segala amalan: "mengapa aku lakukan begitu? Adakah tujuanku untuk manusia atau untuk Allah Yang Esa? Mengapa aku tak lakukan dengan lebih baik?" dan sebagainya. Sememangnya inilah antara sifat seorang mukmin yang sentiasa risau akan kedudukan amalannya.

3. Nafsul Mutmainnah

Dengan indahnya diungkapkan dalam surah Al-Fajr:

Hai jiwa yang tenang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.
Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,
masuklah ke dalam syurga-Ku.(Al-Fajr:27-30)


Inilah diri yang tenang. Tenang dengan segala yang diqadarkan Allah, tiada yang mengubah ketenangannya, yang membuat ia risau, kejayaan tidak membuat hatinya bersorak gembira, kesusahan tidak membuatnya gelisah dan berputus-asa, ini kerana ia yakin bahawa apa yang terjadi telah ditentukan dari awal lagi.

Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Taghaabun,64:11)
 

Rujukan: http://bicaramuslim.com